Atlet Sabah raih emas di Sukma 2024 terima insentif RM10,000
KERAJAAN Sabah meningkatkan insentif atlet yang memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024 kepada RM10,000 berbanding RM5,000 sebelumnya.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagi pemenang pingat perak dan gangsa pula, kerajaan negeri akan menunggu cadangan daripada Kementerian Belia dan Sukan negeri setelah selesai temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu.
"Saya berharap kontinjen Sabah berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas pada SUKMA 2024. Saya mahu atlet Sabah bertanding dengan semangat kesukanan tinggi dan menjaga disiplin diri demi nama baik Sabah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Hajiji mengadakan pertemuan bersama skuad wushu Sabah yang berjaya menyumbang tiga pingat emas dan satu perak di Kuching, Sarawak.
Wushu menyumbang tiga pingat emas buat kontinjen Sabah menerusi Amirah Sofea Azlan (sanda 45-48kg wanita), Dione Babyline Fely (sanda 48- 52kg wanita) dan Fyenlly Himon (sanda 48-52kg lelaki).
Pingat perak dimenangi Ericson Bong Cheng Loong (toulu gunshu lelaki). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!