PM masih tidak ambil gaji, potongan gaji menteri diteruskan
JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan masih tidak mengambil sebarang gaji malah potongan gaji sebanyak 20 peratus kepada Jemaah Menteri masih diteruskan walaupun gaji penjawat awam kini dinaikkan.
Beliau berkata, komitmennya untuk tidak mengambil sebarang gaji masih berkuatkuasa sehingga kini.
"Saya umum kenaikan gaji penjawat awam tetapi gaji Jemaah Menteri tidak naik malah masih kekal dipotong 20 peratus.
"Dalam masa yang sama, kerajaan bantu penjawat awam dengan menaikkan gaji mereka.
"Perdana Menteri pula sampai hari ini, walaupun macam-macam ditohmah tetapi tetap tidak ambil gaji," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam dinaikkan kepada 15 peratus manakala pengurusan tertinggi dinaikkan pada kadar tujuh peratus.
Pelaksanaan pelarasan gaji itu dilakukan menerusi dua fasa bermula 1 Disember depan dan 1 Januari 2026.
Pada Disember 2022, Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan.
Langkah tersebut diambil sebagai semangat keprihatinan terhadap masalah rakyat.
Seterusnya pada Januari lalu, Anwar dilaporkan kekal dengan pendirian tidak akan mengambil gaji bagi jawatan yang disandangnya sejak November 2022 itu selagi ekonomi negara tidak pulih sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!