PRK DUN Mahkota: Pemuda UMNO hargai PH beri laluan kepada BN

Noor Azleen Ambros.
Noor Azleen Ambros.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor menghargai pendirian rasmi Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Pemuda, Noor Azleen Ambros berkata, pendirian rasmi PH dalam hal ini adalah cerminan kepada kesungguhan serta komitmen PH untuk terus menyuburkan semangat perpaduan di Johor secara bermuafakat.

"Pemuda Johor meminta agar semua pimpinan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan khususnya di Johor, untuk fokus memenangkan PRK di DUN Mahkota dengan mengulangi kejayaan manis memenangkan calon-calon perpaduan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada tahun lepas.

"Fokus dan tumpuan seluruh jentera parti kerajaan adalah untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai segala usaha pimpinan kerajaan sedang ambil untuk memberi kehidupan yang lebih baik buat seluruh rakyat, baik usaha di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menegaskan agenda memecah belah perpaduan rakyat harus ditolak dan tidak sesekali dibiarkan bertapak di negeri ini.

Sebelum ini, PH dilaporkan tidak akan meletakkan calon pada PRK DUN Mahkota di Johor pada September ini.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat kepimpinan tertinggi PH yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.

Pertikaian mengenai kerusi DUN Mahkota antara BN dan Parti Amanah Negara tercetus susulan desakan Amanah Kluang supaya diberi peluang bertanding pada PRK berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, pada sidang akhbar pada 5 Ogos lalu dilaporkan berkata ia berikutan parti berkenaan pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

Namun, beliau dilaporkan berkata, jika UMNO Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri bersedia memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai Ahli Majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat, Amanah bersedia memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota.

Pada Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK DUN Mahkota akan diwakili BN.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!