PRK Nenggiri: Pengundian tamat 6 petang, penjumlahan undi bermula

Petugas SPR membawa turun peti-peti undi dari pusat-pusat mengundi Pos Gob dan Pos Simpor sempena PRK Nenggiri sebaik tiba dengan menaiki helikopter di Padang Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang hari ini. Foto Bernama
Petugas SPR membawa turun peti-peti undi dari pusat-pusat mengundi Pos Gob dan Pos Simpor sempena PRK Nenggiri sebaik tiba dengan menaiki helikopter di Padang Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berakhir selepas kesemua 20 pusat yang dibuka sejak 8 pagi tadi ditutup secara rasmi.

Sebanyak 14 pusat mengundi ditutup pada 6 petang manakala enam lagi ditutup lebih awal dengan empat daripadanya pada 2 petang dan dua pada 3 petang.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 46 tempat mengundi atau saluran akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini.

Dua helikopter digunakan untuk melancarkan proses penjumlahan undi bagi kawasan penempatan Orang Asli Pos Gob dan Pos Simpor yang masing-masing jaraknya 116 kilometer dan 100 kilometer dari pusat bandar ini.

SPR menjangkakan keputusan rasmi akan diumum oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK berkenaan Nik Raisnan Daud seawal 9 malam.

Proses pengundian hari ini membabitkan 20,216 pengundi biasa daripada keseluruhan 20,259 pengundi berdaftar manakala 43 kertas undi pos telah dikeluarkan untuk individu yang bertugas sepanjang PRK itu termasuk anggota polis.

Setakat 4 petang, SPR memaklumkan bahawa peratusan keluar mengundi ialah 71.87 peratus.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima 18 laporan dan membuka enam kertas siasatan berkaitan PRK itu sejak semalam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau menyifatkan proses pengundian hari ini sebagai terkawal dan berlangsung dalam keadaan harmoni.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail bagi Perikatan Nasional.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pilihan Raya Negeri Kelantan ke-15 pada Ogos tahun lepas menyaksikan Mohd Azizi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!