Tuduhan MPAJ salah guna kuasa tidak berasas
AMPANG - Tuduhan salah guna kuasa dilemparkan kepada kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) seperti tular di media sosial sejak Jumaat dianggap tidak berasas.
MPAJ dalam satu kenyataan memaklumkan, pemantauan pematuhan syarat lesen yang dijalankan pada Rabu dan Khamis lalu itu dilakukan ke atas semua peniaga di gerai Built Operate and Transfer (B.O.T), Taman Lembah Maju A.
Menurut kenyataan itu, pada Rabu, MPAJ menjalankan gotong-royong di tapak niaga tersebut di samping turut mengadakan sesi taklimat pematuhan syarat lesen serta pemeriksaan gerai di sana.
"Semasa program dijalankan, terdapat provokasi daripada anak-anak peniaga terhadap kakitangan MPAJ.
"Mereka telah memperlekehkan kerja-kerja yang sedang dijalankan MPAJ dan telah menghalang (menyentuh anggota badan salah seorang kakitangan MPAJ) semasa kerja semakan dijalankan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Ujar kenyataan itu, pemantauan dan pemeriksaan di lokasi sama diteruskan sehari kemudian pada jam 9 pagi dan 4 petang.
"Semasa semakan tersebut dijalankan, kakitangan MPAJ telah dimaki hamun dan dihalang untuk membuat pemeriksaan di tapak.
"Tindakan kompaun telah dikenakan kepada peniaga atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen MPAJ," katanya.
Selain itu katanya, tindakan kompaun telah dikenakan kepada peniaga berlesen atas kesalahan melanggar syarat lesen kerana menggajikan pekerja warga asing.
"Semasa semakan tersebut, anak-anak kepada salah seorang peniaga yang di kompaun masih lagi membuat provokasi dan menghalang kerja-kerja semakan dan pemantauan oleh kakitangan MPAJ.
"Pihak MPAJ telah membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah berkenaan isu tersebut," katanya.
Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan video tular membabitkan dakwaan penguat kuasa MPAJ dikatakan berat sebelah ketika menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan niaga tersebut.
Menerusi rakaman tersebut, seorang individu turut mendakwa terdapat amalan rasuah oleh kakitangan MPAJ dipanggil 'Hisham' yang menghubunginya meminta 'duit kopi' pada waktu malam.
Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad ketika dihubungi bagaimanapun memaklumkan, operasi dijalankan itu mengikut peruntukan undang-undang PBT membabitkan pelanggaran syarat lesen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!