Kontrak, AP, lesen dijual kepada pihak ketiga akan ditarik
PUTRAJAYA - Kerajaan akan menarik balik peluang yang disediakan sekiranya terdapat pihak menyalahgunakannya.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kontrak dan permit import (AP) yang diberikan kerajaan tidak sepatutnya dijual kepada pihak ketiga.
"Apabila mereka menerima kontrak umpamanya, mereka jual. Ada yang dapat AP atau lain-lain bantuan daripada kerajaan, mereka mencari jalan mudah dengan menjual peluang ini kepada pihak lain untuk mendapat keuntungan lebih awal," katanya dalam ucapan Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan itu merupakan antara faktor yang menghalang kepada kejayaan dasar-dasar negara.
"Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada 1970 dahulu mewujudkan banyak peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk meraih sebahagian daripada kekayaan negara, namun ada yang menggunakannya sebagai jalan mudah untuk meraih keuntungan," katanya.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun.
Sebanyak RM11.4 juta disumbangkan oleh rakan-rakan strategik KPLB terdiri daripada 17 entiti badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan untuk perlaksanaan program di bawah kementerian itu.
Antara penyumbang adalah Maybank Islamic Berhad, Jakel Group Of Companies dan Farm Fresh Milk Sdn Bhd.
Sementara itu, Rina dalam ucapannya berkata, masyarakat luar bandar akan diberi peluang secara adil dan saksama dalam menikmati kehidupan lebih sejahtera terutamanya modal insan.
Menurutnya, antara golongan sasar sedia ada adalah belia yang tamat persekolahan tetapi menghadapi kesukaran.
"Pasaran modal insan sedia ada akan menampung kekurangan di dalam pelbagai sektor pekerjaan sekiranya mereka diberi sokongan dan berada dalam program lebih khusus berdasarkan keperluan ekonomi semasa," katanya.
Dalam pada itu KPLB mengajak lebih ramai individu dan syarikat korporat berganding bahu menitikberatkan kelestarian serta kelangsungan program dijalankan kementerian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!