Chen Jie raih dua emas 50M raifal 3 posisi, lebur rekod Sukma acara individu

Penembak Negeri Sembilan, Gan Chen Jie menyumbang dua Emas dalam acara 50 Meter Raifal 3 Posisi individu Wanita dan 50 Meter Raifal 3 Posisi Wanita berpasukan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Lapang Sasar Sarawak, pada Sabtu. Foto Bernama
Penembak Negeri Sembilan, Gan Chen Jie menyumbang dua Emas dalam acara 50 Meter Raifal 3 Posisi individu Wanita dan 50 Meter Raifal 3 Posisi Wanita berpasukan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Lapang Sasar Sarawak, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PENEMBAK Negeri Sembilan, Gan Chen Jie membidik pingat emas acara 50 meter Raifal 3 Posisi wanita individu sekali gus memecah rekod temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Lapang Sasar Sarawak pada Sabtu.

Atlet berusia 20 tahun itu mendahului dengan catatan 574 mata menewaskan Nur Sumayyah Dzulkifli dari Pulau Pinang yang meraih pingat perak dengan 563 mata dan Nur Hanisah Adibah Zakaria dari Terengganu melengkapkan podium dengan 558 mata.

Chen Jie mengatasi rekod penembak Perak, Nurul Syafani Nabilah Abdul Razak dengan bidikan 569 mata pada Sukma 2022.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian hari ini, saya juga mendapat tunjuk ajar daripada atlet senior Nur Suryani Mohamed Taibi untuk mendapatkan teknik yang lebih baik, beliau juga menasihatkan supaya jangan terlebih yakin ketika beraksi, beri tumpuan sepenuhnya terhadap apa yang perlu dilakukan.

"Saya berharap dapat berjaya sepertinya dan beraksi di Sukan Olimpik, saya juga menonton video atlet menembak Olimpik antarabangsa, bagaimana mereka membidik dan mengawal emosi,” katanya kepada pemberita.

Chen Jie turut membantu rakan sepasukannya, Aina Zahara Baharum dan Tan Yee Xuan menambah koleksi punggutan pingat emas dalam acara 50 meter Raifal 3 Posisi berpasukan dengan bidikan 1,680 mata.

Trio negeri itu menewaskan pencabar mereka Nur Hanisah Adibah Zakaria, Nuradanee Qaisara Muhammad, Wan Nur Alyasha Humaira Muhammad Zahurin (Terengganu) ditempat kedua dengan bidikan 1,648 mata dan pingat gangsa dimiliki oleh Nur Amira Nabila Khairus Safawi, Nur Sakinah Nurain Abdul Rahman, Nur Balqis Hamizi dari Selangor dengan 1,647 mata.

Secara keseluruhan Negeri Sembilan merangkul empat pingat emas dalam menembak daripada enam pingat emas dipertandingkan termasuk 10 meter Air Raifal lelaki dan berpasukan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!