Polis tidak terima laporan cubaan tarik kereta di R&R Tapah
TAPAH - Polis meminta seorang wanita hadir ke Balai Polis Tapah untuk memberi keterangan terhadap cubaan tarik kenderaan yang didakwanya berlaku di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah di sini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya ambil maklum dengan video tular tersebut dan semakan mendapati tiada laporan polis diterima setakat ini.
"Tiada aduan diterima daripada mana-mana pihak berhubung kes itu. Kalau wanita tersebut boleh hadir untuk diambil keterangan, ia dapat membantu kita membuat siasatan.
"Pada masa sama, tindakan pencegahan juga sentiasa dilaksanakan dengan mengadakan program 'Talk to Us' selain rondaan cegah jenayah oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB)," katanya di sini pada Sabtu.
Terdahulu, tular rakaman video seorang wanita menceritakan pengalaman sepupunya terhadap taktik seorang lelaki yang cuba tarik kereta tanpa dokumen sah ketika berhenti berhampiran sebuah stesen minyak di hentian hala utara itu.
Semakan pihaknya juga mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan dua lelaki dalam kejadian itu adalah palsu
Menerusi video itu, dia menasihatkan warganet untuk sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!