[RASMI] BN rampas Nenggiri dengan majoriti 3,352 undi

Mohd Azmawi Fikri (dua dari kanan) mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail. Foto Sinar Harian
Mohd Azmawi Fikri (dua dari kanan) mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail. Foto Sinar Harian
A
A
A

GUA MUSANG - Barisan Nasional (BN) kembali merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri apabila calon mereka, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang digelar 'Budok Awie' menang empat kali ganda majoriti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Nenggiri, Nik Raisnan Daud di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Dewan Majlis Daerah Gua Musang di sini, pada Sabtu.

Mohd Azmawi Fikri atau lebih dikenali sebagai Awie mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.

Mohd Asmawi Fikri (tengah) bersama Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub (dua dari kiri) dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) meraikan kemenangan BN pada PRK Nenggiri hari ini.
Mohd Asmawi Fikri (tengah) bersama Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub (dua dari kiri) dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) meraikan kemenangan BN pada PRK Nenggiri hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, 5,739.

Jumlah undi pemilih pada kali ini ialah 14,830, undi ditolak 135 dan undi tidak dikembalikan adalah tiga.

PRK kali ini melibatkan seramai 20,259 pengundi yang mendaftar dimana 86 peratus daripadanya ialah Melayu, Orang Asli (14 peratus), Cina (0.2 peratus) dan India (0.1 peratus).

Ia melibatkan 20 pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Orang Asli (5 PDM) dan perkampungan Melayu tradisi, felda, kesedar (15 PDM)

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu setakat jam 6 petang Sabtu, peratusan keluar mengundi untuk PRK DUN Nenggiri mencatatkan 73.88 peratus menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peratus itu sekali gus menyaksikan sasaran SPR yang menjangkakan peratusan keluar mengundi hari ini (Sabtu) melebihi 60 peratus, tercapai.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) lalu jumlah peratusan yang keluar mengundi hanya 61 peratus sahaja.

PRK Nenggiri diadakan selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilucut hak sebagai ahli selepas melanggar peraturan dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada Bersatu pada 13 Jun lepas.

Pada PRN15, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan Ab Aziz Yusof dengan majoriti 810 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!