Kerajaan tak perlu lagi ragu kosongkan enam kerusi MP lompat - Pas
SHAH ALAM - Kerajaan tidak perlu ragu untuk mengisytiharkan kekosongan enam kerusi ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berikutan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, BN sudah kembali kuat apabila berjaya meraih sokongan pengundi di DUN Nenggiri.
Menurutnya, walaupun Perikatan Nasional (PN) tewas, namun ia adalah latihan yang akan digunakan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“BN sudah kembali kuat. Sokongan rakyat di Nenggiri kembali kepada BN. Sudah tentu kerajaan tidak ragu-ragu lagi untuk mengisytiharkan kekosongan enam kerusi lompat di mana BN yang akan bertanding. Itupun jika mereka yakin bahawa mereka sudah kembali kuat.
“Jadikan pengalaman sepanjang kempen PRK ini sebagai ‘latihan’ untuk menghadapi pilihan raya selepas ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!