Terap teknologi dalam pendidikan

Hadir sama dalam majlis adalah Yang Dipertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Abdul Kassim serta Ketua Bahagian Pendidikan JHEAIPP, Rosli Othman.
Hadir sama dalam majlis adalah Yang Dipertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Abdul Kassim serta Ketua Bahagian Pendidikan JHEAIPP, Rosli Othman.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Pendidikan berteraskan teknologi abad ke 21 sememangnya amat penting dalam memastikan suasana pendidikan lebih maju dan memberangsangkan serta tidak terlepas dan tertinggal mengikut peredaran zaman.

Lantaran itu, Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengambil inisiatif menerapkan teknologi alaf 21 dalam sistem pendidikannya.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang Nazzer Abdul Hamid berkata, keperluan teknologi dalam pendidikan merupakan antara agenda serius dalam membuka tirai pendidikan bagi tahun ini.

"Pertamanya kita menerapkan teknologi bermula daripada guru-guru baik daripada guru Kafa, guru Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Rendah Agama Rakyat sehinggalah ke pelajar.

"Untuk golongan pendidik kita menyerapkan teknologi pendidikan melalui seminar, kursus yang dijalankan dan insya-ALLAH, ia akan dilaksanakan juga kepada pelajar-pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menghadiri majlis menandatangani kontrak guru Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Rendah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di Ummah Hall di sini, semalam.

Katanya, dalam masa sama pihaknya juga menggunapakai sistem teknologi terkini dalam temuduga untuk guru-guru Kafa.

"Mulai tahun ini, kita akan menggunakan satu aplikasi yang diberi nama Quizziz untuk ujian kompetensi bagi guru-guru Kafa, dan dalam temuduga guru Kafa.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini kita menggunakan ujian bertulis, namun selaras perkembangan teknologi terkini, semua temuduga akan mengguna pakai sistem ini," katanya.

Menurutnya, dalam masa sama teknologi turut diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran secara berperingkat.

"Kita dalam perancangan untuk memasang wifi di sekolah-sekolah Kafa, dan perkara ini telah dicadangkan dan dibawa ke peringkat selanjutnya.

"Ia merupakan persediaan untuk guru-guru menggunakan buku rancangan mengajar secara digital yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi," katanya.

Jelasnya, perubahan ke arah pendidikan berteknologi di institusi pendidikan agama di negeri ini selaras dengan hasrat untuk memastikan ia selari dengan perkembangan teknologi semasa.

"Kita mahukan guru dan pelajar sedia dengan perkembangan teknologi semasa dan masa sama tidak ketinggalan dalam arus perkembangan terkini.

"Ada yang telah dilaksanakan, dan ada yang dalam proses dan bakal dilaksanakan secara berperingkat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!