Branding 'budok Awie' kekal - ADUN Nenggiri

Awie bersama ibunya, Zainon Yusof, 67, dan isteri, Noorkhamilaa Mohd Zin selepas diumumkan sebagai ADUN Nenggiri pada Sabtu.
Awie bersama ibunya, Zainon Yusof, 67, dan isteri, Noorkhamilaa Mohd Zin selepas diumumkan sebagai ADUN Nenggiri pada Sabtu.
A
A
A

GUA MUSANG - Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang baharu bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri tidak sampai sejam yang lalu berkata, branding 'budok Awie' yang digelarkan kepadanya akan dikekalkan.

"Terima kasih yang memberikan gelaran itu sehingga trending. Salah satu sebab saya menang," katanya semasa sidang akhbar selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang di sini pada Sabtu.

Beliau yang mewakili calon Barisan Nasional (BN) itu berikrar akan berkhidmat kepada semua rakyat Nenggiri tanpa mengira warna politik.

Mohd Azmawi Fikri atau lebih dikenali sebagai Awie turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pengundi DUN Nenggiri serta jentera parti dan pucuk pimpinan yang bekerja keras memastikan kemenangan berpihak kepada beliau serta BN.

Ujarnya, kemenangan itu diluar jangkaan dan perkara yang tidak disangka sama sekali.

"Esok (Ahad) perkara pertama yang saya ingin lakukan selepas bergelar ADUN ialah turun bertemu dengan rakyat dan ia akan dimulai dengan kawasan Sungai Asap terlebih dahulu," katanya.

Sinar Harian melaporkan BN kembali merampas kerusi Dewan DUN Nenggiri apabila calon mereka, Mohd Azmawi Fikri yang digelar 'Budok Awie' menang empat kali ganda majoriti pada PRK kali ini.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Nenggiri, Nik Raisnan Daud di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Dewan Majlis Daerah Gua Musang di sini, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmawi Fikri atau lebih dikenali sebagai Awie mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, 5,739.

Jumlah undi pemilih pada kali ini ialah 14,830, undi ditolak 135 dan undi tidak dikembalikan adalah tiga.

PRK kali ini melibatkan seramai 20,259 pengundi yang mendaftar dimana 86 peratus daripadanya ialah Melayu, Orang Asli (14 peratus), Cina (0.2 peratus) dan India (0.1 peratus).

Ia melibatkan 20 pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Orang Asli (5 PDM) dan perkampungan Melayu tradisi, felda, kesedar (15 PDM)

Sebelum itu setakat jam 6 petang Sabtu, peratusan keluar mengundi untuk PRK DUN Nenggiri mencatatkan 73.88 peratus menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!