Lelaki cedera ditikam penyewa rumah
SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki cedera ditikam dengan pisau ketika bergelut dengan penyewa rumahnya di Kampung Lasah di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, mangsa telah pergi ke rumah lelaki berusia 40 tahun itu berhubung tunggakan bayaran sewa rumahnya.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, tangkapan terhadap suspek yang juga penganggur dilakukan selepas menerima laporan daripada mangsa berusia 29 tahun.
"Siasatan mendapati berlaku pertengkaran mulut ketika mangsa mahu pungut sewa rumah. Mangsa kemudian meminta suspek keluar rumah berikutan sudah lama tidak membayar sewa.
"Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan dan mangsa cedera di lengan kanan akibat menepis pisau dan terkena satu tikaman di belakang badan," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, mangsa telah dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput dan senjata terbabit berjaya dirampas.
"Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
"Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!