[VIDEO] Sesi lawatan pegawai daerah, ADUN Dengkil bertukar kecoh
KUALA LANGAT – [DIKEMASKINI] Sesi lawatan Pegawai Daerah Kuala Langat ke lokasi kemalangan maut di Kilometer 11 Jalan Banting-Dengkil di sini, bertukar kecoh apabila beliau diasak soalan dan desakan bertubi-tubi oleh beberapa penduduk Olak Lempit, Banting.
Dalam lawatan turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah itu, penduduk berterusan mempersoalkan mengapa bonggol dan jejantas tidak dibina segera di laluan yang didakwa menjadi lokasi kemalangan sejak lebih 10 tahun lalu itu.
Situasi tegang bermula ketika kedua-dua mereka serta pegawai dari pelbagai agensi melawat ke lokasi kemalangan yang mengakibatkan pelajar Tingkatan 1, Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, maut dalam kejadian 21 Januari lalu.
Penduduk berterusan mempersoalkan mengapa tindakan lambat diambil meski kemalangan maut telah berlaku.
Mereka dengan lantang turut melahirkan rasa tidak puas hati apabila kenderaan yang lalu-lalang di laluan utama itu ketika lawatan dibuat tidak berhenti ketika lampu isyarat merah meskipun pegawai dari pelbagai agensi termasuk pihak polis berdiri di tepi laluan tersebut.
“Tengoklah sendiri betapa bahayanya laluan ini...ketika lampu isyarat merah pun kenderaan masih bergerak dan tidak berhenti...bayangkan keselamatan anak-anak kami yang melintas di sini.
“Susah sangat ke nak bina bonggol dan jejantas...jangan sampai penduduk bina bonggol sendiri,” jerit penduduk.
Keadaan tidak terhenti di situ sahaja apabila penduduk sekali lagi ‘menyerang’ dengan pelbagai soalan ketika sidang media dijalankan.
Situasi itu bagaimanapun dapat dikawal anggota penguat kuasa dari Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat yang turut berada di lokasi.
Pegawai Daerah Kuala Langat, Jusni Hashim berkata, pihaknya mengadakan lawatan ke lokasi bagi melihat bagaimana situasi sebenar keadaan jalan raya di tempat kejadian.
Selepas kemalangan berlaku 21 Januari lalu pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiasat dan mengenalpasti sebarang kecuaian dari segi kemudahan di jalan tersebut.
Hasil pemeriksaan dan siasatan secara visual pada hari kejadian mendapati permukaan jalan, lampu isyarat lintasan, lampu isyarat ‘mast arm’, ‘roadmarkings’, papan tanda dan lintasan pejalan kaki berfungsi dalam keadaan baik.
“Pemeriksaan mendapati tiada dahan pokok yang menghalang pemandangan pemandu untuk melihat lampu isyarat yang digantung pada ‘mast arm’.
“Siasatan juga mendapati garisan ‘transverse bar’, garisan lintasan pejalan kaki dan garisan pembahagi jalan agak pudar namun masih berfungsi dengan baik,” katanya.
Jusni yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Daerah Kuala Langat berkata, terdapat dua cadangan daripada pihak JKR bagi penambahbaikan dari aspek keselamatan di laluan itu iaitu pelan jangka panjang dan pendek.
Katanya, bagi pelan jangka panjang Jalan Banting-Dengkil (laluan FT31) telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk dinaiktaraf daripada dua lorong kepada empat lorong bagi menampung kapasiti trafik semasa.
Katanya, apabila proses pelebaran jalan sudah selesai barulah pihaknya dapat mencadangkan pembinaan jejantas pejalan kaki.
Menurutnya, bagi pelan jangka pendek pula, pihak JKR memaklumkan antara yang dicadangkan adalah dengan pemasangan ‘blinking blue lights’, ‘rumble strips’ dan lampu jalan.
Katanya, lintasan pejalan kaki akan dicat semula serta ‘road stud akan dibaiki dan ditambah.
“Pelan jangka pendek akan dilaksana dalam tempoh sebulan lagi namun pelan jangka masa panjang memang akan mengambil masa yang lama.
“ Selaras dengan perancangan projek tersebut yang sedang dalam peringkat kajian dan reka bentuk, lintasan pejalan kaki searas sedia ada akan digantikan dengan jejantas bagi memenuhi keperluan aspek keselamatan pejalan kaki untuk melintas.
“Semua pelan tindakan ini akan dirujuk kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi mendapatkan peruntukan untuk meningkatkan aspek keselamatan jalan raya di sekitar lokasi lintasan pejalan kaki berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit,” katanya.
Terdahulu beliau berkata, pihaknya kesal dengan kejadian kemalangan langgar lari yang berlaku di lokasi itu sebelum ini.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh pihak polis pemandu dan kenderaan terlibat masih belum dapat dikenal pasti sehingga kini namun siasatan masih diteruskan.
“Saya juga dimaklumkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menubuhkan pasukan khas untuk mengenalpasti dan menjejaki pemandu kenderaan yang terlibat.
“Saya menggesa mana-mana pihak yang menjadi saksi tampil dengan maklumat kepada pihak polis,” katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan kira-kira 300 penduduk Olak Lempit, Banting berhimpun secara aman mendesak kerajaan membina kemudahan jejantas di Jalan Banting-Dengkil berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit.
Penduduk mendakwa lebih 10 kejadian kemalangan membabitkan kematian termasuk sebahagian besar mangsa adalah pelajar sekolah berlaku di laluan tersebut.
Terbaharu pada 21 Januari lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut manakala rakannya patah tangan selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 11 Jalan Banting-Dengkil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!