'Menang majoriti besar, taktikal BN di Nenggiri menjadi'

Ahmad Jazlan (tengah) bersama Awie (kiri) semasa sidang akhbar selepas pengumuman keputusan PRK DUN Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang pada Sabtu.
Ahmad Jazlan (tengah) bersama Awie (kiri) semasa sidang akhbar selepas pengumuman keputusan PRK DUN Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang pada Sabtu.
A
A
A

GUA MUSANG - Taktikal Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan calon lebih awal menjadi apabila parti tersebut menang majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu.

Bukan itu sahaja, percaturan 'berdiam diri' tanpa sebarang ceramah mega, tidak menjawab 'tuduhan' yang dilemparkan oleh lawan turut menjadi penyumbang kepada kemengan itu.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia dilihat menjadi salah satu faktor kemenangan buat mereka.

"Banyak faktor kemenangan, yang pertama calon. Apabila presiden parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ambil pandangan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) pilih calon.

"Kedua, strategi kita umum calon awal. Tentu kita kena kerja penat sikit apabila umum awal tapi ia beri peluang kepada calon menyantuni pengundi.

"Apabila ada orang tanya saya kenapa kali ini tak ada manifesto. Sedangkan lawan kita umum dalam ceramah besar. Apabila wartawan tanya, saya kata manifesto Awie satu, berkhidmat kepada rakyat sekiranya rakyat beri sokongan itu manifesto paling berharga dan menyumbang kepada kemenangan," katanya semasa sidang akhbar selepas pengumuman keputusan PRK DUN Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang di sini pada Sabtu.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menang majoriti besar iaitu 3,352 undi menewaskan PN yang diwakili oleh Mohd Rizwadi Ismail.

Menurut beliau, dalam pilihan raya tidak perlu banyak manifesto jika ia tidak dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Jika ianya banyak tak buat dari buat. Saya rasa manifesto berkhidmat untuk rakyat sekiranya diberi mandat adalah yang terbaik," ujarnya.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawasanya UMNO telah hilang sokongan orang Melayu.

Menurut Ahmad Jazlan, PRK kali ini jelas menunjukkan pengundi luar balik mengundi dan memberi sokongan kepada BN.

"Terima kasih kepada semua, terutama Pengerusi BN, Perdana Menteri dan seluruh rakan kepimpinan yang bekerja keras untuk menangkan calon BN.

"Paling istimewa terima kasih kepada pengundi Nenggiri yang telah memberi kepercayaan kepada UMNO, BN untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pada hari ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!