Deraian air mata penyokong BN
GUA MUSANG - Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri ternyata menggembirakan pemimpin dan penyokong parti itu.
Kemenangan berkenaan turut diiringi deraian air mata petugas dan penyokong wanita BN yang berkumpul bersama di Balai Rakyat Cekati di sini.
Sepanjang menonton keputusan tidak rasmi, ramai di antara mereka bukan sahaja dilihat menangis kegembiraan malah saling berpelukan meraikan kejayaan berkenaan.
Ketua Wanita UMNO Kelantan, Norwahida Patuan berkata, keputusan itu disambut dengan penuh kesyukuran kerana membuktikan kerja keras mereka untuk Nenggiri.
"Selama ini BN dihina dan dicaci oleh pihak lawan tetapi hari ini kita membuktikan BN yang dikatakan ditolak tetapi kini kembali sudah kembali mendapat kepercayaan pengundi," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau memberitahu, kesungguhan Wanita UMNO menggunakan strategi naik rumah ke rumah tanpa mengaibkan sesiapa serta tiada unsur fitnah sangat berbaloi.
"Kita hanya dengan cara kerja kita dengan misi yang dibawa untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap BN," katanya.
Selain pengundi di kawasan kampung dan bandar, Norwahida turut memuji pengundi Orang Asli yang memberi kerjasama baik sepanjang kempen mereka.
Beliau memberitahu, mereka pada mulanya bimbang dengan kerjasama golongan itu tetapi sebenarnya mereka golongan yang setia kepada BN.
"Selepas ini kita akan mengadakan pertemuan dengan Orang Asli untuk menyatakan penghargaan sepanjang proses kempen dan pilihan raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!