'BN bermula dengan kekalahan namun berakhir kejayaan'

Asyraf Wajdi (kiri) semasa sidang akhbar selepas pengumuman kemenangan calon BN, Mohd Azmawi Fikri (tengah) di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang pada Sabtu.
Asyraf Wajdi (kiri) semasa sidang akhbar selepas pengumuman kemenangan calon BN, Mohd Azmawi Fikri (tengah) di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang pada Sabtu.
A
A
A

GUA MUSANG - Barisan Nasional (BN) masuk ke gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan kekalahan dan penghinaan namun berakhir dengan kejayaan besar.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, dari awal lagi ceramah-ceramah parti lawan banyak menghina UMNO seolah-olah mereka tidak mempunyai maruah.

Namun, katanya, hasil usaha semua jentera seluruh negara dan Kerajaan Perpaduan memberi telah kemenangan kepada BN.

"Seluruh jentera parti yang datang daripada serata pelusuk Malaysia cukup berdisiplin di bawah seliaan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

"Kenapa saya kata penuh disiplin? Ia kerana sejak awal lagi kita telah meletakkan asas-asas penting iaitu jangan sesekali menggunakan pendekatan kempen yang tidak berakhlak dan tiada adab," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pengumuman rasmi kemenangan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bagi PRK Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang pada Sabtu.

Asyraf Wajdi menegaskan, pihaknya melakukan pendekatan khusus yang akhirnya berjaya membuahkan kemenangan tersebut.

Katanya, BN menonjolkan kekuatan calon yang diumumkan awal selain mendekati pengundi tanpa mengira ideologi parti.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak ada ceramah besar-besar. Kita mendekati setiap rakyat dan kelebihan yang ada kali ini kita pergi kepada semua pengundi yang kita label sebagai penyokong kita atau penyokong lawan.

"Ini antara pendekatan penting dan ternyata rakyat di Nenggiri memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN. Kita tak pernah menggadaikan perjuangan Islam dan kita memartabatkan agenda Melayu untuk rakyat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!