SSPA berjaya jika seiring budaya kerja, kawal selia

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Abdul Rahim
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Abdul Rahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) perlu disokong oleh beberapa mekanisme bagi menjamin keberkesanannya termasuk budaya kerja, aspek pengawalan dan penyeliaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Zumrah berkata, secara keseluruhannya, sistem baharu itu dilihat mampu melahirkan pegawai kerajaan yang berdaya saing kerana kakitangan awam perlu meningkatkan kualiti kerja.

Menurutnya, penjawat awam pasti berusaha lebih keras bagi memastikan mereka mencapai markah prestasi sekurang-kurangnya 75 peratus.

“Saya melihat sistem baharu ini akan berjaya dan berkesan jika ia seiring dengan perubahan budaya kerja, maksudnya perlunya anjakan paradigma.

“Begitu juga aspek pengawalan dan penyeliaan oleh ketua jabatan, ia perlu diperkasakan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem baharu ini,” katanya pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan menambah baik aspek pengurusan prestasi, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib selari dengan pelaksanaan SSPA.

Anwar berkata, antara yang akan dilaksanakan adalah menetapkan kriteria kelayakan Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) hanya terpakai kepada pegawai yang mencapai tahap prestasi yang memuaskan dan lulus tapisan tatatertib, dengan markah layak terima PGT dinaikkan daripada 60 peratus kepada 75 peratus.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim mengakui terdapat beberapa cabaran dalam melaksanakan SSPA, termasuk kemungkinan ‘pilih kasih’ dalam pemberian markah.

Artikel Berkaitan:

“Aspek pilih kasih sukar untuk dinafikan sepenuhnya kerana kita manusia. Bagaimanapun, sistem prestasi baharu ini boleh membantu meminimumkan isu pilih kasih. Misalnya, pencapaian staf perlu didokumentasi atau dilampirkan bukti bertulis atau nyata.

“Mekanisme ini akan menjadikan pelaksanaan sistem prestasi yang objektif dan mengurangkan ruang untuk pihak tertentu menindas pekerja di bawah seliaannya,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!