Jadikan PAU 2024 sebagai medan perkukuh semula parti - Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli dan kepimpinan UMNO perlu menjadikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 sebagai medan siginifikan untuk membicarakan kebangkitan dan memperkukuh semula parti.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bedah siasat juga perlu dilakukan kerana selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sokongan terhadap UMNO dilihat semakin merudum.

“Kepimpinan UMNO ketika ini memang berpecah. UMNO tidak boleh nafikan (perpecahan). Sehubungan itu, PAU 2024 perlu dijadikan sebagai satu platform menyatupadukan ahli dan kepimpinan UMNO.

“Inilah waktu untuk menjadikan perhimpunan itu sebagai satu post-mortem kerana setelah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO semakin menurun dari segi sokongan,” katanya ketika wawancara eksklusif bersama Sinar Harian pada Jumaat.

PAU 2024 akan diadakan selama empat hari bermula 21 Ogos hingga 24 Ogos depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut mendakwa bahawa sindrom penafian masih berlaku dalam kalangan kepimpinan UMNO.

“Ini kerana masih ada beranggapan negeri-negeri yang tidak mempunyai sebarang kerusi sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor memiliki pemimpin cekap dan kuat.

“Kalau kuat, mustahil kosong kerusi di Parlimen dan DUN. Saya nampak sindrom itu masih kekal dalam UMNO, malah mencari kesalahan orang lain bagi tujuan justifikasi terhadap kekalahan parti,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menyarankan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencari strategi yang mantap dan ampuh bagi menghadapi PRU16 akan datang.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik semula keputusan membenarkan proses mencetak dan mengedarkan komik Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama (BRI).

“Selama ini kita anggap komunis sebagai pengganas. Bagaimanapun, dalam komik itu ia (komunis) seolah-olah digambarkan setaraf dengan UMNO dari segi perjuangan kemerdekaan dan patut diberi pengiktirafan.

“Saya agak terkejut dan kecewa (KDN menarik semula larangan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berkenaan), ini bermakna komik tersebut boleh diedarkan di sekolah dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut menggesa agar kerajaan mengkaji semula keperluan menarik balik larangan penerbitan komik berkenaan kerana ia berkait dengan sensitiviti pejuang tanah air.

“Persatuan bekas tentera dan polis memaklumkan bahawa mereka tidak bersetuju kerana kekejaman komunis terhadap badan uniform negara kita masih kekal dalam ingatan.

“Pengiktirafan komunis bermakna penghinaan kepada mereka sekali gus ia akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat,” ujarnya.

Pada 13 Ogos lalu, KDN membatalkan Perintah Larangan terhadap komik BRI karya bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Perkara itu terkandung dalam warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024 yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bertarikh 6 Ogos lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!