Perkukuh budaya sukan prestasi tinggi

Basikal Olimpik WXR Vorteq dibangunkan hasil penyelidikan dan pembangunan oleh ISN. Foto Facebook Ahmad Faedzal
Basikal Olimpik WXR Vorteq dibangunkan hasil penyelidikan dan pembangunan oleh ISN. Foto Facebook Ahmad Faedzal
A
A
A

INSTITUT Sukan Negara (ISN) berharap budaya sukan prestasi tinggi di Malaysia terus diperkukuhkan melalui peruntukan kewangan yang konsisten.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, penerapan amalan prestasi tinggi terbaik melalui kualiti kejurulatihan bertaraf dunia dan program inovasi prestasi yang berasaskan data serta bukti juga perlu terus diperkasa.

Beliau berkata, program penyelidikan dan pembangunan basikal Olimpik WXR Vorteq juga telah berjaya ISN laksanakan dalam menyediakan basikal trek terbaik buat para pelumba basikal trek negara bertanding dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris kali ini.

Ahmad Faedzal
Ahmad Faedzal

“Hasilnya dua rekod baharu kebangsaan telah dicatatkan dalam acara pecut lelaki (Datuk Mohd Azizulhasni Awang) dan wanita (Nurul Izzah Izzati Mohd Asri) dan catatan peribadi terbaik oleh Muhammad Shah Firdaus Sahrom,” catat beliau menerusi Facebook pada Sabtu.

Beliau turut melahirkan penghargaan buat 19 petugas perubatan dan sains sukan ISN di atas komitmen serta semangat kerja berpasukan dalam memberi perkhidmatan kepakaran dan sokongan kepada atlet Team MAS di Paris.

Tambahnya, secara keseluruhan sebanyak 574 sesi meliputi 312 sesi perkhidmatan perubatan sukan dan 262 sesi perkhidmatan sains sukan telah diberi kepada 26 atlet semasa temasya tersebut berlangsung.

“Pelaksanaan perkhidmatan ISN semasa Sukan Olimpik Paris bermula dari 23 Julai sehingga hari terakhir pada 11 Ogos.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, tiada kecederaan serius atlet direkodkan sepanjang tempoh temasya,” katanya.

Ahmad Faedzal menjelaskan antara perkhidmatan utama yang ISN berikan kepada para atlet meliputi perubatan sukan termasuk rawatan fisioterapi, urutan sukan dan konsultasi perubatan.

“Perkhidmatan sains sukan pula meliputi sesi pemulihan ice bath, pemulihan pneumatic compression, konsultasi dan pemantauan psikologi serta penilaian hidrasi.

“Turut ditawarkan kepada atlet ialah sesi suaian fizikal, aktiviti prapermainan, analisa prestasi, pemantauan berat adan, nasihat pemakanan dan suplemen,” katanya.

Beliau turut melahirkan komitmen bahawa ISN akan terus memberikan perkhidmatan kepakaran dan inovasi prestasi kepada atlet Team MAS bagi program-program latihan atlet serta pertandingan serta temasya-temasya utama akan datang.

“Penghargaan kepada Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Sukan Negara Malaysia atas kerjasama rapat dalam memastikan penyampaian perkhidmatan ISN dapat dilaksanakan dengan optimal,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!