Kejayaan BN bukti Orang Asli masih ‘deposit tetap’ UMNO
SHAH ALAM - Undi orang Asli dan anak muda membantu Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri daripada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu.
Penganalisis politik bebas, Dr G Manimaran berkata, kejayaan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menewaskan wakil PN, Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti 3,352 undi membuktikan Orang Asli kini kembali menjadi pengundi tegar UMNO biarpun mereka tidak berbuat demikian semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Katanya, kejayaan itu juga membuktikan bahawa kira-kira 1,300 penyokong BN terutama pengundi putih UMNO dan Orang Asli yang merajuk pada PRN lalu kini kembali menyokong parti komponen Kerajaan Persekutuan.
“Kejayaan ini juga membuktikan bahawa anak muda dan pengundi luar sudah tidak terkesan dengan pelbagai dakyah disebarkan pembangkang termasuklah isu penarikan subsidi diesel, BlackRock dan 3R (agama, kaum dan raja).
“Kemenangan ini juga membuktikan strategi BN dan UMNO mengarahkan jentera parti berkampung di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) adalah tepat dan berjaya menepis pelbagai dakyah negatif cuba disebarkan oleh PN sepanjang kempen PRK DUN Nenggiri sebelum ini.
“Keadaan itu berbeza jika dibandingkan di Sungai Bakap di mana jentera PKR memang tidak kuat dan kurang tersusun berbanding jentera UMNO sepanjang kempen PRK DUN Nenggiri berlangsung,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kejayaan Mohd Azmawi yang mewakili Kerajaan Perpaduan menewaskan Mohd Rizwan dalam pertembungan dua penjuru di PRK DUN Nenggiri yang berlangsung pada Sabtu.
Manimaran berkata, kemenangan BN juga membuktikan memang wujud unsur boikot atau undi protes daripada penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan Mohd Rizwan yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!