BN kembali pertahan kubu kuat kurang dari tempoh setahun
PILIHAN raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menang majoriti besar iaitu 3,352 undi.
Kemenangan itu menyebabkan calon daripada Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Mohd Rizwadi Ismail daripada Pas gagal mempertahankan kerusi kawasan itu.
Strategi yang digunakan oleh BN bagi mendapatkan kembali kubu kuat mereka di Gua Musang berhasil apabila berjaya meraih undi majoriti.
Keputusan tersebut membuktikan parti itu masih lagi relevan dalam kalangan masyarakat Nenggiri walaupun pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan mereka.
Dalam pada itu, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, dengan mengumumkan calon lebih awal antara faktor mereka berjaya memenangi PRK DUN Nenggiri.
Menurutnya, percaturan berdiam diri tanpa sebarang ceramah mega dan tidak menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh pihak lawan antara penyumbang kepada kemenangan tersebut.
Strategi itu dilihat berhasil apabila Bersatu tidak mampu mempertahankan kerusi di kawasan itu.
Ketiadaan manifesto adalah kelainan dan faktor yang menyebabkan BN terus mara menewaskan Pas sekali gus merampas kembali kawasan DUN berkenaan.
Selain itu, faktor pemilihan calon juga antara strategi kejayaan yang digunakan oleh BN bagi PRK di Nenggiri.
Dalam setiap siri kempen, BN juga lebih fokus kepada menyelesaikan masalah penduduk di sekitar kawasan tersebut berbanding memainkan isu remeh.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti keramat itu perlu menang kerusi di DUN Nenggiri supaya tidak menjadi batu nisan di Kelantan yang ketika ini ditadbir oleh pembangkang.
Kemenangan tersebut bakal menjadi tonggak ketiga untuk parti itu meningkatkan kembali kekuatan negeri berkenaan.
Berdasarkan beberapa siri PRK, prestasi BN semakin baik malah masyarakat sudah mula memberikan sokongan kepada mereka dan perkara tersebut akan membawa perubahan dalam kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!