Momentum Nenggiri akan merebak ke Mahkota - Sheikh Umar

Sheikh Umar
Sheikh Umar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Momentum kejayaan calon UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diyakini akan merebak ke pilihan raya DUN Mahkota pada September ini.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, Pakatan Harapan (PH) akan terus mengekalkan kerjasama strategik dalam kempen PRK DUN Mahkota bagi memastikan kemenangan calon Perpaduan.

"Saya ucapkan tahniah kepada calon UMNO, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang telah memenangi pilihan raya sekali gus merampas kembali kerusi DUN Nenggiri dari PN.

"Di samping keberkesanan strategi, kemenangan ini memberi gambaran bahawa keyakinan rakyat terhadap UMNO dapat dipertahan walau diserang hebat oleh PN," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sheikh Umar berkata, kejayaan memenangi PRK DUN Nenggiri merupakan manifestasi keyakinan rakyat terhadap hala tuju Kerajaan Perpaduan ketika ini.

"Ia termasuklah iltizam memulihkan ekonomi, menyatupadukan rakyat serta mengetengah dasar yang baik untuk negara.

"Pengundi mahukan agenda pembangunan dan perpaduan sepertimana dibawakan oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan," ujarnya.

Pada PRK yang berlangsung pada Sabtu, calon Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmawi Fikri atau lebih dikenali sebagai Awie memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang memperoleh 5,739 undi.

PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi yang mendaftar dengan 86 peratus ialah Melayu, 14 peratus Orang Asli manakala Cina dan India masing-masing 0.2 peratus dan 0.1 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!