Keyakinan rakyat kembali kepada BN di Kelantan

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri membuktikan keyakinan rakyat terhadap parti itu semakin meningkat terutamanya di Kelantan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemenangan itu adalah hasil daripada usaha bersama, dedikasi dan komitmen berterusan semua pihak.

Beliau turut memanjatkan kesyukuran ke atas kemenangan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi kerana telah memilih serta memberi kepercayaan kepada Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih mesra dipanggil Awie untuk mewakili dan membawa suara mereka.

"Syabas dan tahniah kepada saudara Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani kerana telah memenangi PRK DUN Nenggiri.

"Semoga saudara Awie dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin untuk membela nasib serta memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat di DUN Nenggiri," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selain itu, Wan Rosdy mengucapkan tahniah kepada semua jentera BN yang berhempas pulas selama dua minggu.

Pada PRK yang berlangsung pada Sabtu, Mohd Azmawi Fikri mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail.

Calon BN itu memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala Mohd Rizwadi yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang memperoleh 5,739 undi.

Keputusan rasmi itu diperoleh selepas kiraan semua 46 saluran peti undi di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan sebanyak 135 kertas undi ditolak.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan keputusan kiraan, BN memenangi 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), manakala PN pula hanya menguasai tiga PDM.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu, selepas bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!