Tikam rakan kerana dimarahi tidak pulangkan motosikal
KAJANG - Perselisihan faham dipercayai punca seorang lelaki cedera ditikam rakannya di sebuah pangsapuri di Semenyih di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kejadian itu pada jam 2.51 petang.
"Akibat dimarah semasa pertemuan di rumah kakak mangsa, lelaki itu kemudian telah mengambil pisau di dapur dan mengejar lalu mencederakan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Naazron berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa berusia 23 tahun dengan suspek apabila suspek gagal memulangkan semula motosikal yang dipinjam pada bulan lalu.
"Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang bagi rawatan lanjut, pemeriksaan mendapati tiga kesan tikaman di bahagian belakang pinggang dan satu di bahu kiri.
"Mangsa kini dalam keadaan sedar serta stabil dan masih dirawat di hospital berkenaan. Polis sedang mengesan suspek berusia 30-an untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata, Polis Daerah Kajang menasihatkan masyarakat sentiasa tenang dalam menyelesaikan apa jua permasalahan dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohamad Faeez Norzah di talian 013-2773407 bagi membantu siasatan," katanya.
@sinarharianonline Tikam rakan kerana dimarahi tidak pulangkan motosikal #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Jenayah #Tikam #Motosikal #Polis
News - ComaStudio
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!