Salah akui era Slot, Klopp berbeza
MOHAMED Salah mengakui permainan di bawah pengurus baharu Liverpool, Arne Slot agak berbeza dengan bekas pengurus Jurgen Klopp berikutan prestasi pemain dalam kemenangan 2-0 ke atas Ipswich pada perlawanan pembukaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Salah memberikan hantaran bantuan kepada Diogo Jota untuk membuka jaringan di Portman Road pada awal separuh masa kedua sebelum meledak gol pada minit ke-65 dalam persembahan dominan pasukan pelawat itu.
Gol Salah itu juga mencipta rekod EPL kerana dia cukup tajam dan telah meledak sembilan gol dalam perlawanan pembukaan.
“Saya gembira kami menang hari ini, ia sentiasa hebat untuk memberi impak kepada pasukan dan memenangi perlawanan, itu perkara paling penting.
“Saya tidak tahu mengapa saya mempunyai begitu banyak kejayaan pada perlawanan pembukaan tetapi saya harap saya dapat meneruskannya untuk musim penuh dan bukan hanya perlawanan pertama.
"Saya sentiasa cuba membantu pasukan-perkara yang paling penting ialah pasukan memenangi perlawanan. Saya sentiasa berminat untuk menjaringkan gol dan memberikan bantuan jadi saya perlu meneruskan," kata Salah.
Liverpool bermula hambar pada separuh masa pertama, gagal mencatatkan rembatan ke sasaran menentang pasukan Ipswich yang baru sahaja dinaikkan pangkat ke liga utama itu.
"Sudah tentu sukar untuk bermain pasukan yang baru dinaikkan pangkat, terutamanya di rumah mereka, ia sangat sukar.
"Perlawanan pertama musim ini dan kelab sentiasa bersedia. Kami telah bermain lama dalam Liga Perdana jadi kami berpengalaman dan menjangkakan perlawanan yang sukar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!