Kemenangan BN di Nenggiri bawa signifikan tersendiri - Nik Nazmi

Nik Nazmi. Foto fail Bernama
Nik Nazmi. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan pertama dalam pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) apabila kembali merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kemenangan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie itu adalah satu keputusan positif dan membawa signifikannya tersendiri.

Ujarnya yang juga merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), ini kerana berdasarkan keputusan dalam PRK lalu, parti penyandang berjaya mengekalkan kemenangan masing-masing.

"Pada saya itu satu keputusan yang positif dan juga signifikan sebab dia adalah perubahan yang pertama selepas PRU 2022, yang lain semua keputusan sama apabila pilihan raya kecil.

"Tetapi akhirnya (selepas berakhir PRK) kita kena teruskan buat kerja kita di peringkat Persekutuan dan negeri, dari segi kedudukan di negeri dan juga Persekutuan ia tidak mengubah apa-apa.

"PRK di Johor kita akan hadapi dalam masa terdekat, juga ditandingi BN dan Pakatan Harapan (PH) akan turun membantu kempen. Insya-ALLAH (Kerajaan Perpaduan) akan menang," kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

Nik Nazmi (tiga kiri) menyerahkan tong MGB kepada salah seorang penduduk di Taman Sri Rampai di sini.
Nik Nazmi (tiga kiri) menyerahkan tong MGB kepada salah seorang penduduk di Taman Sri Rampai di sini.

Nik Nazmi ditemui selepas menyempurnakan program pengedaran tong sisa mudah alih (MGB) dan mengagihkan tong MGB kepada penduduk di Setiawangsa melibatkan 100 penerima di Taman Sri Rampai di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Pada PRK berlangsung pada Sabtu, calon BN, Mohd Azmawi Fikri yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.

Mohd Azmawi Fikri atau lebih dikenali sebagai Awie memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang memperoleh 5,739 undi.

Kekalahan PN di Nenggiri merupakan prestasi terburuk gabungan parti itu dalam PRK sejak PRU15.

Sebelum ini, walaupun tewas dalam PRK seperti di Pulai dan Simpang Jeram, PN berjaya meningkatkan atau mengekalkan peratusan undi mereka namun, keadaan sebaliknya di Nenggiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!