Anak meraung terpijak duri landak laut

Gambar yang dikongsikan di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak terpaksa menjalani pembedahan kecil bagi mengeluarkan duri landak laut yang tertusuk pada kedua kakinya. (Keadaan kaki Harith yang terkena duri landak laut ketika bermain di Pantai Tok Jembal)
Gambar yang dikongsikan di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak terpaksa menjalani pembedahan kecil bagi mengeluarkan duri landak laut yang tertusuk pada kedua kakinya. (Keadaan kaki Harith yang terkena duri landak laut ketika bermain di Pantai Tok Jembal)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keriangan seorang kanak-kanak bermain bersama keluarganya di Pantai Tok Jembal, di Kuala Nerus berakhir tragedi apabila dia terpaksa menahan kesakitan selepas kedua-dua kakinya terkena duri landak laut.

Kejadian berlaku petang Jumaat lalu itu dikongsikan ibu kanak-kanak tersebut menerusi akaun Facebook Nurul Fathiyyah pada Sabtu.

Menurut Nurul Fathiyyah, anaknya yang digelar Harith terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk mengeluarkan duri yang terkena pada ibu jari kaki kanan dan tapak kaki kirinya.

"Harith hanya bermain di gigi air sahaja sebelum tiba-tiba menjerit kesakitan di atas pasir.

"Kami sangkakan dia terkena batu, sekali tengok nampak kesan hitam di kaki. Sebab terlalu panik, kami berdua angkat dan bawa ke HSNZ dan disahkan terkena duri landak laut," katanya menerusi hantaran tersebut.

Nurul Fathiyyah berkata, dia dan suami tidak sanggup mendengar tangisan anaknya yang terpaksa menahan kesakitan sebelum menjalani proses pembedahan.

"Dengar tangisan Harith, buat kami suami isteri tak senang duduk. Harith dalam kesakitan tapi kami tak boleh buat apa-apa melainkan menunggu doktor memberikan rawatan.

Artikel Berkaitan:

Ibu jari kaki kanan turut tertusuk duri landak laut.
Ibu jari kaki kanan turut tertusuk duri landak laut.

"Selepas buat x-ray di bahagian tapak kaki, doktor kata tak boleh keluarkan... kena masuk bilik bedah untuk buang sebab bilangannya terlalu banyak dan semuanya masuk ke dalam tapak kaki," tulisnya.

Jelasnya lagi, keadaan anaknya semakin stabil dan tidak mengalami sebarang komplikasi selepas kesemua duri landak itu berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan kecil pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya, perkongsian itu dibuat sebagai peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati ketika berkunjung ke pantai terutama di Pantai Tok Jembal.

"Ini untuk semua supaya beringat bahawa kawasan air di Tok Jembal tu memang banyak landak laut.

"Berdasarkan cerita daripada doktor bedah, dia kerap dapat kes landak laut dari kawasan yang sama iaitu di Tok Jembal.

"Kepada ibu bapa yang bawa anak main di situ, hati-hati sebab anak saya hanya main di gigi air sahaja. Bukan main kat tengah laut," luahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!