[VIDEO] Kubur lama timbul di Tasik Pedu, waris berkumpul anjur majlis tahlil

A
A
A

KUALA NERANG - Lebih 200 orang termasuk waris menghadiri majlis tahlil dan kenduri arwah diadakan pada Sabtu berhampiran tanah perkuburan berusia 100 tahun di Tasik Pedu yang timbul selepas air tasik buatan manusia itu surut kesan cuaca panas berpanjangan.

Iman Masjid Tong Pelu, Pedu, Mohd Khoiri Idris, 58, berkata, tapak perkuburan itu terletak di perkampungan lama yang dahulunya dikenali Kampung Mong Gajah.

Beliau berkata, tapak perkuburan terbabit muncul setiap empat tahun ketika cuaca panas berpanjangan.

Nurul Amin menunjukkan sebahagian kubur lama yang timbul semula di Kampung Mong Gajah. Lebih 200 waris menyertai majlis tahlil diadakan berhampiran tapak kubur di Kampung Mong Gajah.
Nurul Amin menunjukkan sebahagian kubur lama yang timbul semula di Kampung Mong Gajah. Lebih 200 waris menyertai majlis tahlil diadakan berhampiran tapak kubur di Kampung Mong Gajah.

"Sebelum ini, tapak perkuburan lama terbabit timbul pada tahun 2016, 2020 dan terbaharu pada 2024.

"Sehubungan itu, majlis tahlil dan kenduri arwah telah diadakan tiga kali sejak tapak perkuburan lama itu timbul memandangkan peluang seumpama ini jarang berlaku," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis tahlil dan kenduri arwah pada Sabtu.

Mohamad Khoiri berkata, kebanyakan waris terutamanya cucu dan cicit mengambil peluang menziarahi kawasan perkuburan nenek moyang masing-masing.

Menurutnya, ada waris sanggup datang jauh dari Batu Kurau,Perak demi menziarahi kubur ahli keluarga mereka yang timbul tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian waris menyertai majlis tahlil diadakan berhampiran tapak kubur di Kampung Mong Gajah.
Sebahagian waris menyertai majlis tahlil diadakan berhampiran tapak kubur di Kampung Mong Gajah.

Bagaimanapun, beliau berkata, waris berdepan sedikit kesukaran untuk masuk menziarahi kubur disebabkan keadaan jalan yang berlecak, sekali gus berharap ia dapat dibaiki.

Menurut Ismaid Daud, 60, dari Kampung Pinang berkata, dia juga bersyukur kerana berkesempatan menziarahi kubur lama termasuklah milik datuk saudara terbabit.

Ismail memberitahu, bapanya, Md Daud Hassan yang masih hidup pernah tinggal kampung berkenaan sebelum diarahkan berpindah pada 1955 demi memberi laluan projek di tasik terbabit.

Menurutnya, terdapat beberapa kampung di Tasik Pedu ditenggelamkan termasuklah Kampung Kuala,Kampung Jahit, Kampung Chitik dan Kampung Mong Gajah.

"Namun, kampung-kampung ini tidak timbul sampai sekarang dan hanya tapak Kampung Mong Gajah dan kawasan perkuburan lama muncul semula setiap kali cuaca panas berpanjangan,"katanya.

Seorang lagi waris, Fatimah Zain, 54, berkata, dia juga tidak melepaskan peluang menziarahi kubur arwah datuknya yang disemadikan di tanah perkuburan terbabit.

Katanya, perasaan rindu terubat memandangkan tanah perkuburan lama terbabit turut menempatkan kubur nenek moyangnya.

Fatimah mengambil peluang membacakan doa untuk arwah datuknya dan penduduk kampung di kubur lama di Kampung Mong Gajah.
Fatimah mengambil peluang membacakan doa untuk arwah datuknya dan penduduk kampung di kubur lama di Kampung Mong Gajah.

"Sehubungan itu,majlis tahlil dan kenduri arwah diadakan demi mendoakan penduduk kampung yang telah lama meninggal dunia termasuklah arwah datuk saya sendiri,"katanya.

Seorang lagi waris Siti Rayah Rashid,73, dari Kampung Tong Pelu berkata, dia telah menziarahi kubur arwah datuk sebanyak dua kalinya setiap kali ia timbul semula.

Katanya, dia berasa sayu apabila berpeluang menziarahi kubur keluarga apabila air empangan terbabit kering hingga menampakkan kubur yang berbatu nisan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, dia juga turut serta bersama penduduk setempat dan waris mengadakan tahlil ringkas berhampiran tapak perkuburan itu.

"Kampung Mong Gajah adalah kampung paling besar dan ada banyak lagi kampung di sini lebih kurang 15 kampung,yang mana penduduk terdiri mereka yang terlibat dalam peperangan Siam sekitar tahun 1800.

"Jadi, tahlil yang diadakan untuk kita hadiahkan pahala bacaan doa dan mendoakan kesejahteraan penduduk disemadikan di tanah perkuburan ini,selain mendoakan supaya air di tasik kembali naik semula,"katanya.

Beliau menambah,terdapat cadangan untuk memindahkan kubur-kubur lama terbabit ke kawasan lain.

Bagaimanapun, Nurul Amin berkata, beliau difahamkan hasil perbincangan di peringkat Jabatan Agama dan sebagainya mendapati tiada keperluan untuk dipindahkan kerana perkuburan ini sudah berusia 100 tahun.

@sinarharianonline

Tapak perkuburan terbabit muncul setiap empat tahun ketika cuaca panas berpanjangan #fyp #SinarHarian #Kuburlama #CuacaPanas #KualaNerang #Terengganu #TasikPedu

News - ComaStudio

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!