10 faktor kepada kemenangan PRK Nenggiri - Zambry

Zambry
Zambry
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu didorong oleh 10 faktor antaranya kempen secara berkampung dan program taqarrub yang memberi kelebihan kepada gabungan tersebut.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kaedah tersebut lebih berkesan berbanding mengadakan ceramah secara besar-besaran.

"Meskipun tidak kedengaran dentam-dentum ceramah dari BN, tetapi jentera menyelinap masuk ke kampung-kampung dan pusat daerah mengundi (PDM) dengan penuh disiplin.

"Pasukan dari negeri-negeri datang turut membantu BN Kelantan. Mereka tidak meninggalkan pangkalan atau datang sebagai pelancong pilihan raya," katanya menerusi hantaran di facebook pada Ahad.

Pada Sabtu, BN kembali merampas kerusi DUN Nenggiri apabila calon mereka, Mohd Azmawi Fikri yang digelar 'Budok Awie' menang empat kali ganda majoriti pada PRK kali ini.

Mohd Azmawi Fikri atau lebih dikenali sebagai Awie mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, 5,739.

Ujar Zambry, penjagaan kawasan Orang Asli oleh pasukan bahagian Kelantan dan negeri-negeri berpengalaman dengan komuniti tersebut iaitu Perak serta Pahang juga memain peranan dalam keputusan PRK kali ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, meskipun Perikatan Nasional (PN) dengan lambang Pas turut membina khemah-khemah mereka di kawasan Orang Asli, namun ia didakwa gagal menarik sokongan.

"Selain itu, peranan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li sebagai orang yang sangat berpengalaman dalam kawasannya.

"Beliau telah memberikan nasihat dan menyediakan kaedah mengendalikan pengundi-pengundi di Gua Musang khsususnya di DUN Nenggiri.

"Pemilihan Mohd Azmawi juga memberi banyak kelebihan kepada BN kerana beliau sudah dikenali di kawasan Nenggiri dengan khidmatnya," ujarnya.

Jelas beliau, faktor lain membawa kemenangan tersebut turut didorong oleh kepimpinan efektif Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan strategi isu tempatan seperti tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang lebih penting berbanding politik UMNO-DAP.

Zambry mendakwa, kempen dan pemilihan Tan Sri Annuar Musa oleh PN sebagai Pengarah Operasi PRK DUN Nenggiri bagi gabungan tersebut juga memberi kesan terhadap keputusan dalam pilihan raya tersebut.

"Langkah PN dengan ceramah-ceramah mega dan politik negara gagal memberi impak kepada kawasan luar bandar seperti Nenggiri.

"PN sangat yakin dengan gelombang Melayu-Islam yang menolak UMNO yang dipimpin oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!