Rakyat sudah lihat Pas, PN hanya bermain dengan sentimen semata-mata - Ismail
SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) membuktikan rakyat sudah mengenali sikap sebenar Perikatan Nasional (PN) yang sekadar pandai bermain dengan sentimen semata-mata.
Bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh mendakwa, perbuatan itu jelas tidak memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat tetapi negara secara keseluruhannya.
"Saya kira rakyat sudah melihat bagaimana Pas dan PN bermain dengan sentimen semata-mata. Tidak akan berjaya (untuk meraih sokongan berterusan rakyat) kerana sentimen ini hanya akan membakar semangat buat sementara.
"Ia kosong dan tidak akan memberi kebaikan kepada seluruh rakyat dalam negara kita dan ia tidak memberi kebaikan kepada negara.Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua pengundi di DUN Nenggiri.
"Keputusan PRK ini adalah sesuatu yang saya kira diluar dugaan Pas," katanya menerusi hantaran video di aplikasi TikTok.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, menang pada PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.
Beliau memperoleh 9,091 undi dan menewaskan pencabarnya calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN yang meraih 5,739 undi.
Sementara itu, Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut menyenaraikan tiga faktor utama kekalahan pembangkang di kerusi berkenaan.
Jelasnya, tiga faktor itu ialah Orang Asli masih bersama dengan BN, undi orang Melayu beralih kepada BN dan perubahan sokongan orang muda terhadap parti berkenaan.
"Daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM) hanya tinggal tiga yang masih bersama dengan Pas. Saya kira kemenangan BN ini merupakan hala tuju yang seterusnya sampai kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) atau pilihan raya negeri (PRN)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!