Obor perjuangan PN akan terus menyala - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Obor perjuangan Perikatan Nasional (PN) untuk membela agama, bangsa dan negara akan terus menyala, meskipun gagal mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa sama mengakui gabungan itu menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi dengan hati terbuka.

"Walaupun kita mengharapkan kemenangan, kita menerima keputusan yang telah dibuat oleh pengundi dengan hati yang terbuka.

"Paling penting kita terus istiqamah dalam landasan perjuangan yang menguji kesabaran dan ketahanan kita," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, menang pada PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Beliau memperoleh 9,091 undi dan menewaskan pencabarnya calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN yang meraih 5,739 undi.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengundi yang mengundi calon PN.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan dan petugas PN yang telah mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk membantu kempen PN di Nenggiri. Sumbangan dan penat lelah anda semua amat saya hargai," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!