UMNO masih di hati orang Melayu, tapi boleh kembali dihukum jika lalai - Dr Akmal

Muhamad Akmal
Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan UMNO di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang mempunyai populasi hampir 95 peratus Melayu Bumiputera menjadi satu indikator bahawa UMNO masih lagi di hati setiap orang Melayu, kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Bagaimanapun beliau mengakui, sokongan dan kepercayaan yang diperoleh hasil usaha UMNO melakukan perubahan, tidak bersifat kekal kerana UMNO boleh kembali dihukum sekiranya terus lalai.

"Sebelum ini mereka mungkin sayang tetapi tidak percaya kepada UMNO dan membuatkan mereka tidak mempunyai pilihan dan beralih arah kepada parti selain UMNO untuk memberi signal bahawa rakyat mahukan perubahan dalam UMNO.

"Mereka merasakan UMNO perlu berubah dahulu baru kepercayaan mereka akan kembali terhadap UMNO. Terima kasih kepada pimpinan tertinggi UMNO kerana mempercayai barisan pemuda UMNO untuk menerajui perubahan ini.

"Bukan mudah untuk melakukan perubahan,tetapi kita telah melakukannya di Nenggiri. Kami percaya jika kita ikhlas demi agama bangsa dan negara, ALLAH SWT akan bantu perjuangan ini...Alhamdulilah rakyat menerima dan kembali mempercayai parti keramat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, Rakyat mahukan pemimpin yang berkhidmat dan berani membawa suara mereka bukan pemimpin yang hanya bergelar yang berhormat tetapi hanya memikirkan tentang kepentingan diri sahaja.

Justeru tegasnya, Pemuda UMNO kekal konsisten membawa suara rakyat tanpa rasa takut dulu, kini dan selamanya.

"Kerana kami percaya bahawa UMNO wajib menjadi platform utama untuk menyatupadukan melayu islam di negara seperti di peringkat awal penubuhan UMNO dahulu kerana itulah yang dimahukan oleh semua rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!