Pelajar SBP dikejarkan ke hospital, alami keracunan makanan
KUALA TERENGGANU - Ibu bapa pelajar sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Terengganu mendakwa anak mereka kerap mengadu sakit perut dan mengalami gejala keracunan makanan seperti ciri-birit sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
Difahamkan, kejadian pada Khamis lalu menyebabkan lebih 21 pelajar mengalami simptom tersebut dan ada antara mereka terpaksa ditahan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini serta beberapa hospital swasta untuk menerima rawatan.
Seorang bapa yang enggan dikenali berkata, kes keracunan makanan di sekolah tersebut seolah-olah tiada jalan penyelesaian kerana berlaku tiga kali berturut-turut dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.
"Ada yang alami simptom ringan dan bertahan tanpa perlu pergi ke hospital, namun ada juga yang sakit teruk dan terpaksa menerima rawatan di wad.
"Anak saya bukan sahaja terpaksa menanggung sakit malah sesi pembelajaran di sekolah juga terganggu.
"Kami harap pihak berkuasa dapat mengambil langkah drastik bagi mengatasi masalah ini secepat mungkin," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar yang juga enggan dikenali berkata, anaknya yang bersekolah di situ mengadu sakit perut sejak pagi Khamis lalu.
"Seorang anak yang bersekolah di situ mengadu sakit perut sebelum Subuh pada Khamis lalu.
"Sebelah pagi dia ada ke sekolah namun terpaksa pulang ke asrama tidak lama selepas itu kerana badannya terasa lemah dan perlu berehat.
"Disebabkan bimbang keadaan berlarutan, saya terpaksa menjemputnya pulang ke rumah pada hari yang sama dan menghantarnya ke hospital, " katanya.
Difahamkan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mengadakan ceramah di sekolah tersebut pada awal bulan ini.
Ceramah disertai seramai 500 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan Lima 5 itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai tanda-tanda keracunan makanan dan cara pencegahannya.
Para pelajar diberi penerangan mengenai konsep lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati apa-apa jenis makanan sebagai langkah waspada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!