PRK Nenggiri: Batu nisan kini jadi tungku, kata Mohd Syahbuddin
GUA MUSANG - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan menjadi 'tungku' kepada parti pembangkang dalam persidangan di Kelantan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, kesemua pembangkang itu sedia bergandingan bagi memantapkan lagi suara mereka untuk membela nasib rakyat.
Menurut beliau, suara daripada wakil rakyat pembangkang akan memastikan kerajaan negeri bertindak lebih telus dan jujur.
"Sebelum ini kami digelar batu nisan (dua pembangkang), sekarang sudah menjadi tungku (tiga). Kita akan bergandingan untuk suara semak dan imbang dalam DUN negeri Kelantan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau turut menafikan desas-desus bahawa kemenangan BN kerana sogokan terhadap pengundi dan menegaskan kesemua jentera parti menunjukkan kesungguhan sepanjang berkempen.
"Berapa banyak yang boleh dibayar, berapa ramai yang boleh dibayar? Seluruh jentera BN bekerja tanpa kenal lelah kerana melihat PRK sebagai maruah UMNO dan BN," katanya.
Mohd Syahbuddin juga memuji Orang Asli DUN itu yang membuat keputusan bijak dengan mengundi calon BN.
"Insya-ALLAH segala keperluan dan permintaan mereka akan dipenuhi oleh kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan di Nenggiri ini," katanya lagi.
Selain itu katanya, orang muda antara yang memberi kemenangan kepada BN sekali gus membuktikan golongan itu mahu objektif yang jelas untuk mereka.
Tambah beliau, politik kebencian dan ekstrim dilihat bukan lagi pilihan golongan muda tetapi mahu melihat wakil rakyat yang mampu bekerja dan bermanfaat kepada mereka.
PRK DUN Nenggiri pada Sabtu menyaksikan calon BN yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri mendapat undi majoriti sebanyak 3,352 menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.
Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awie memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, 5,739.
Bagi ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, kemenangan Mohd Azmawi yang juga 'orang muda' akan menambah kekuatan mereka pada persidangan DUN.
Beliau berkata, ia merupakan satu signal bahawa kerajaan Kelantan tidak boleh memandang ringan suara pembangkang walaupun mereka merupakan majoriti di negeri ini.
"Nenggiri menjadi saksi peralihan besar-besaran pengundi muda yang menjadi satu kemenangan moral kepada Kerajaan Perpaduan untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!