Tragedi kepala air di Yan terus hantui penduduk

Ahmad Izham (kiri) menunjukkan gambar kejadian kepala air yang menjejaskan sekolah ditampal di sudut informasi sekolah berkenaan.
Ahmad Izham (kiri) menunjukkan gambar kejadian kepala air yang menjejaskan sekolah ditampal di sudut informasi sekolah berkenaan.
A
A
A

YAN - Walaupun tiga tahun sudah berlalu, tragedi kepala air yang melanda Taman Eko Pelancongan Titi Hayun di sini, terus menghantui penduduk sekitar terutama yang terkesan akibat bencana itu.

Seorang guru, Sabariah Saad, 55, dari Kampung Setoi di sini, ketika mengimbas kembali detik itu menyifatkan ia sebagai mimpi ngeri yang kekal terpahat dalam ingatannya.

"Walaupun siren amaran awal bencana geologi sudah dipasang dan bina empangan Sabo di Titi Hayun, namun ia tidak cukup untuk meredakan trauma yang dialami. Musim hujan macam ini memang tak tidur lenalah.

"Saya masih ingat lagi kejadian kira-kira 3.30 petang itu, air sungai di depan rumah tiba-tiba berubah keruh, kemudian terdengar deruan air kuat membawa banjir lumpur dan kayu balak serta ketulan batu sehingga titi berhampiran runtuh sekelip mata.

Ahmad Izham (kiri) menunjukkan kesan lumpur yang masih melekat pada dinding bilik stor akibat kepala air.
Ahmad Izham (kiri) menunjukkan kesan lumpur yang masih melekat pada dinding bilik stor akibat kepala air.

"Nampak jiran di atas tangga rumah menunggu bantuan, pada masa sama ada mayat berdekatan yang tidak dapat dikeluarkan kerana jalan putus. Itulah saya tak boleh lupakan sampai ke hari ini,” katanya ketika ditemui pada majlis memperingati tragedi itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Nyak Gam di sini.

Muhd Jamhuri Mohd Raziff, 40, dari Kampung Titi Bakong di sini pula berkata, setiap kali tiba tarikh hari ini, ia mengingatkannya kepada peristiwa menyayat hati itu yang mengorbankan tujuh nyawa, selain mengakibatkan lebih 2,000 rumah terjejas.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Izham menunjukkan peralatan yang rosak selepas kejadian kepala air pada 18 Ogos 2021. Foto Bernama
Ahmad Izham menunjukkan peralatan yang rosak selepas kejadian kepala air pada 18 Ogos 2021. Foto Bernama

"Kejadian itu sentiasa terpahat di hati kami, macam sekarang, bila dengar air kuat turun dari bukit kami trauma kerana kepala air tak boleh nak jangka. Saya mula risau dan sentiasa menghubungi kawan-kawan jika berlaku kenaikan air sungai mendadak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya penduduk berasa sedikit lega selepas siren kecemasan bencana dipasang serta teknologi empangan Sabo dari Jepun dibina di Titi Hayun bagi mengurangkan dampak kepala air.

"Dua sistem ini berjaya mengurangkan keresahan kami, sehingga kini belum ada kejadian berlaku, namun sistem sentiasa diuji dan penduduk sudah pun peka dengan sistem amaran itu,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pra Sekolah SK Haji Nyak Gam, Ahmad Izham Ismail berkata, kesan trauma masih menghantui guru-guru serta murid apabila sekolah berkenaan dilanda banjir lumpur tebal.

Ahmad Izham berkata, disebabkan kedudukan sekolah berdekatan dengan anak sungai dari bukit, ia menerima kesan limpahan lumpur tebal yang menjejaskan sembilan bilik darjah termasuk surau, makmal komputer dan dewan setinggi 0.3 hingga 0.5 meter.

"Kami bercadang untuk membina memorial peringatan yang akan menjadi sejarah sekolah dengan gambar-gambar kejadian turut dipaparkan yang menunjukkan bahawa kejadian itu benar-benar terjadi dan memberi kesan trauma mendalam pada warganya ketika itu,” katanya.

Dalam kejadian bencana kepala air pada 18 Ogos 2021 di kawasan kaki Gunung Jerai itu, tujuh mangsa meninggal dunia akibat dibawa arus deras.

Kejadian turut menyebabkan beberapa kampung di kawasan berhampiran ditenggelami banjir lumpur termasuk di kawasan Merbok dan Kuala Muda. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!