[VIDEO] ADUN Dengkil tak hantar borang pencalonan pemilihan bahagian

Adhif Syan
Adhif Syan
A
A
A

KUALA LANGAT – [DIKEMASKINI] “Di peringkat bahagian, saya tidak hantar apa-apa borang,”demikian reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah ketika ditanya sama ada beliau bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, Adhif yang kini digantung tugas daripada jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Selangor berkata, beliau akan menghantar pencalonan bagi bertanding di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Di peringkat bahagian saya tidak hantar apa-apa borang pencalonan tetapi Insya-ALLAH di peringkat pusat saya akan hantar borang untuk jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Isu yang berlaku sebelum ini tidak menghalang saya terus jalankan tanggungjawab seperti biasa. Walaupun saya digantung Ketua Armada Negeri tetapi dalam pemilihan tidak menghalang saya bertanding jawatan di dalam parti,” katanya ketika mengadakan lawatan ke rumah keluarga pelajar Tingkatan 1 yang maut dalam kejadian kemalangan langgar lari di Jalan Banting-Dengkil, Olak Lempit pada 21 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Adhif berkata, kes melibatkan dirinya masih dalam siasatan pihak polis.

“Kes masih dalam peringkat siasatan lagi selebihnya kena rujuk pada Ketua Polis Negara. Saya tak boleh komen ketika proses siasatan masih berlangsung,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari mengesahkan Adhif ditahan polis seperti yang tular di media sosial.

Beliau berkata, Adhif ditahan polis pada jam 1.30 pagi, 13 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Abdul Rashid yang juga Naib Presiden Bersatu tidak mengulas lanjut mengenai penahanan tersebut berikutan kes terbabit masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!