2 pelajar IPT antara enam mat rempit ditahan
TELUK INTAN - Dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) antara enam lelaki ditahan polis dalam Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Khas Ekzos Bising melibatkan penunggang motosikal di Jalan KM43 Teluk Intan-Sitiawan, di sini pada malam Sabtu hingga pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, operasi terbabit dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak.
Menurutnya, enam orang lelaki yang ditahan itu merupakan warga tempatan berusia 18 hingga 21 tahun.
"Mereka ditahan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Sepanjang operasi dijalankan sebanyak 150 motosikal dan 21 buah kereta termasuk seramai 211 individu turut diperiksa melibatkan 204 orang lelaki dan tujuh wanita dengan usia dalam lingkungan 13 hingga 38 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, sebanyak 42 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 manakala 301 keping saman trafik telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Sementara itu katanya, di bawah kesalahan bunyi bising pula, pihak JAS Perak telah mengeluarkan sebanyak 15 keping kompaun di bawah Perkara 4(2) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 selain 15 Notis Hadir Ujian di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Dalam pada itu, Ahmad Adnan berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi sebegini dari semasa ke semasa bagi meningkatkan lagi tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di daerah ini.
"Ia juga merupakan salah satu usaha IPD HIlir Perak dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya di samping membantu mencegah berlakunya jenayah jalanan di sekitar Teluk Intan.
"Polis IPD HIlir Perak ingin menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya," katanya.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan samseng jalanan atau pelanggaran undang-undang lalu lintas menerusi bantuan khidmat polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Hilir Perak di talian 05-6222222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!