Nahas pesawat di Elmina: Keluarga Allahyarham Johari bercadang ambil tindakan
BENTONG - Pihak keluarga bekas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun bercadang untuk mengambil tindakan terhadap pengendali syarikat pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos tahun lalu.
Tragedi tersebut menyebabkan Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai ketika itu dan sembilan yang lain terkorban.
Anak Allahyarham, Muhammad Shafieq Hafizilman Johari, 30, berkata, tindakan itu akan diambil selepas hasil laporan akhir dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) membabitkan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada Jumaat disahkan berpunca daripada kehilangan kawalan semasa penerbangan disebabkan masalah protokol yang tidak disengajakan.
"Pihak keluarga mungkin akan ambil tindakan terhadap pengendali syarikat terbabit.
"Difahamkan ada waris mangsa yang lain akan buat tindakan sama... cuma menunggu masa," kata anak sulung daripada lima beradik itu.
Beliau ditemui selepas Majlis Tahlil dan Doa Selamat Allahyarham Johari dan kesemua mangsa yang terlibat di Kampung Sum Sum dekat Janda Baik di sini pada Ahad.
Majlis melibatkan ahli keluarga dan waris mangsa turut dihadiri Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam yang juga ADUN Pelangai mewakili kerajaan negeri.
Muhammad Shafieq berkata, mereka sekeluarga menerima dengan hati terbuka dan reda walaupun mengakui masih terkejut dengan hasil laporan yang dikeluarkan oleh biro terbabit.
"Kami letak 100 peratus kepercayaan khususnya pihak kerajaan untuk menggubal kembali terutama lesen juruterbang dan sebagainya.
"Bila lihat hasil laporan penuh yang dikeluarkan, ia berpunca berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak diguna pakai secara elok supaya dapat menjamin keselamatan rakyat yang ingin menggunakan penerbangan khususnya secara peribadi," katanya.
Dalam pada itu, bercerita pemergian Allahyarham bapanya yang telah genap setahun, Muhammad Shafieq mengakui mereka sekeluarga masih bersedih hingga kini.
"Sejujurnya kami masih bersedih selepas setahun... banyak perkara perlu diselesaikan.
"Seperti apa yang saya cakap, kami menunggu tindakan kerajaan untuk membantu kami serta semua waris yang terlibat agar mendapat pembelaan yang sewajarnya," tambahnya.
Jelas beliau, buat masa ini keluarganya juga tidak ingin mendengar rakaman perakam suara kokpit milik pesawat itu kerana tidak mahu menambahkan kesedihan yang dihadapi mereka.
"Secara jujurnya, kami tidak merancang untuk mendengar rakaman suara tersebut," akuinya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pemilihan lokasi majlis itu di Kampung Sum Sum, Muhammad Shafieq berkata, kampung ini dipilih sebagai tanda penghargaan dan hasrat Allahyarham bapanya yang ingin mengadakan majlis di kawasan itu selepas dilantik sebagai Exco Pahang.
"Dua minggu selepas kejadian ada perancangan, sudah ada tarikh nak buat majlis di sini tapi tidak kesampaian selain ia adalah kawasan kampung ayah," katanya.
Dalam kejadian 17 Ogos tahun lalu, pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas di Bandar Elmina ketika menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Mangsa terdiri daripada enam penumpang dan dua anak kapal, serta seorang penunggang motosikal p-hailing dan seorang pemandu e-hailing yang melalui kawasan itu.
Sementara itu, Amizar mengakui turut terkilan selepas mengetahui hasil laporan akhir tragedi tersebut yang disifatkan boleh mengundang tekanan dan kegusaran kepada rakyat Malaysia yang ingin mengambil penerbangan udara.
"Ada sedikit kekecewaan berlaku disebabkan (punca) yang dipanggil kelalaian.
"Kita mohon pihak berwajib untuk mengenal pasti semula, mengkaji bagaimana peraturan atau bagaimana setiap penerbangan serta juruterbang yang diberikan sijil ini perlulah dinilai sebaik mungkin agar perkara ini tidak berulang lagi.
"Kita mohon kepada pihak berwajib untuk sekali lagi menyeru mereka berhati-hati dan mencari cara terbaik dalam memberi perkhidmatan seratus peratus sebab ini melibatkan nyawa manusia," katanya.
Tegasnya, sentuhan dan keperibadian Allahyarham Johari sangat memberi impak buat warga Bentong khususnya di DUN Pelangai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!