'Anak saya tidak akan ke sana seorang diri' - Bapa Nuraina Humaira

Rosli. Gambar kecil: Nuraina Humaira
Rosli. Gambar kecil: Nuraina Humaira
A
A
A

SUNGAI SIPUT - "Tak pernah orang kampung sampai ke tempat berpaya itu, saya pasti, anak saya tidak akan ke sana seorang diri."

Demikian kata Rosli Mahadi, 48, bapa kepada kanak-kanak perempuan yang ditemui mati di di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini, Sabtu lalu.

Mayat Nuraina Humaira Rosli, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.

Rosli berkata, lokasi penemuan mangsa yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka itu ibarat 'kawasan larangan' bagi penduduk kerana banyak haiwan berbisa terutama ular.

"Semasa dimaklumkan anak hilang, saya dan penduduk kampung membuat pencarian di belakang rumah dan keliling kampung, tetapi tidaklah sampai ke kawasan berpaya itu kerana orang kampung tidak pernah ke sana.

"Tak sangka, rupa-rupanya anak saya ada di sana, sama ada dia pergi sendiri atau orang yang bawa dan hantar ke situ, saya tak pasti, semua yang berlaku begitu mengejutkan.

Rosli menggendong anak bongsunya semasa menunggu proses bedah siasat di Hospital Sungai Siput pada Ahad.
Rosli menggendong anak bongsunya semasa menunggu proses bedah siasat di Hospital Sungai Siput pada Ahad.

"Setahu saya, dia tak pernah pergi ke mana-mana tanpa maklumkan kepada kami, nak pergi mandi di sungai pun tak pernah," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sungai Siput di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Rosli yang bertugas sebagai anggota Rela bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya urusan siasatan kematian anak sulung daripada dua beradik itu kepada pihak berkuasa.

"Kalau ada cacat cela pada tubuh badannya, kami minta siasatlah sehingga pelaku itu diberi hukuman setimpal," katanya yang setia menunggu proses bedah siasat di Hospital Sungai Siput sejak 8 malam bersama isteri, Khatijah Angah, 31.

Rosli berkata, pada hari kejadian, dia bertugas di Lasah kira-kira 28 kilometer dari perkampungan itu dan hanya mengetahui kehilangan anaknya sebaik dimaklumkan anak saudara.

"Tengah hari sebelum kehilangan, orang kampung ada nampak anak saya bermain berdekatan kawasan surau. Memang kebiasaan pada Jumaat surau jadi meriah sedikit kerana ada jamuan sebaik selesai solat.

"Tetapi selepas beberapa ketika, mereka tak nampak dan tidak perasan anak saya sehinggalah dimaklumkan kehilangannya," katanya.

Rosli memeluk erat anak bongsunya semasa menunggu proses bedah siasat di Hospital Sungai Siput. turut kelihatan, ibu mangsa, Khatijah Angah, 31. (Duduk, kanan). Foto Sinar Harian
Rosli memeluk erat anak bongsunya semasa menunggu proses bedah siasat di Hospital Sungai Siput. turut kelihatan, ibu mangsa, Khatijah Angah, 31. (Duduk, kanan). Foto Sinar Harian

Menurutnya, pemergian Nuraina Humaira begitu dirasai kerana anaknya itu seorang yang manja dan ringan tulang membantu ibu serta menjaga adik lelakinya berusia 4 tahun.

Kali terakhir dia menyapa anaknya itu pada pagi Jumaat ketika bergerak ke tempat kerja dan mangsa mahu ke sekolah.

"Itulah satu-satunya anak perempuan saya. Selalu bila saya balik kerja, dia akan pinjam telefon untuk tengok kartun di Youtube, tetapi sekarang dia dah tak ada," katanya sebak.

Setakat jam 5 petang, jenazah Nuraina Humaira belum dibawa keluar dari Hospital Sungai Siput kerana masih menunggu proses bedah siasat selesai.

@sinarharianonline

Lokasi penemuan mangsa terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya #fyp #SinarHarian #OrangAsli #SungaiSiput #Perak #NurainaHumaira #Maut

Pergi - Aizat

Ringkasan berita:

  • Pernyataan Bapa: Rosli Mahadi, bapa Nuraina Humaira, yakin anaknya tidak pergi ke kawasan berpaya seorang diri.
  • Penemuan Mayat: Nuraina Humaira, 10 tahun, ditemui mati di kawasan berpaya pada Sabtu setelah hilang sejak Jumaat.
  • Lokasi Bahaya: Lokasi penemuan dianggap "kawasan larangan" oleh penduduk kampung kerana adanya haiwan berbisa.
  • Siasatan: Rosli menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa dan berharap pelaku dihukum setimpal.
  • Kehilangan Anak: Rosli tahu kehilangan anaknya ketika bertugas dan anaknya terakhir dilihat bermain di dekat surau.
  • Kenangan Terakhir: Rosli terakhir bertemu Nuraina pada pagi Jumaat sebelum dia pergi ke sekolah.
Dijana oleh AI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!