Polis terima 28 laporan terhadap Muhyiddin
KUANTAN - Polis Pahang menerima sebanyak 28 laporan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, data tersebut direkodkan pihaknya setakat Sabtu.
"Kita hanya mengumpul laporan kerana kertas siasatan telah di buka di Selangor. Jadi, kita akan merujuk kepada kertas siasatan yang sama," ketika ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, Pemuda dan Puteri UMNO Pekan membuat laporan polis terhadap bekas perdana menteri itu kerana menyentuh isu ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri.
Ketuanya, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, Muhyiddin dalam satu ceramah telah mengeluarkan kenyataan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Beliau berkata, Muhyiddin selaku individu berpengalaman dalam bidang politik, tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan menyentuh institusi diraja dan perlu menjadi contoh yang baik kepada pemimpin muda.
Katanya, isu itu tidak seharusnya timbul dan beliau sepatutnya lebih berhati-hati.
Terdahulu, laporan polis dibuat oleh Pengerusi Biro Putera Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamed Haekal Mohamed Nasrudin dan Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Nur Hidayah Abd Rahim.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam hantaran di laman Facebook pula menzahirkan rasa kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!