Amanah Johor akur BN tanding kerusi DUN Mahkota

Aminolhuda ( tengah) pada sidang akhbar di Parit Yaani, Batu Pahat pada Ahad.
Aminolhuda ( tengah) pada sidang akhbar di Parit Yaani, Batu Pahat pada Ahad.
A
A
A

BATU PAHAT - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor akhirnya akur dengan ketetapan Kerajaan Perpaduan yang memutuskan calon UMNO akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, September depan.

Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan berkata, sebagai parti komponen di dalam Pakatan Harapan (PH), Amanah Johor mengambil pendirian untuk bersama membantu berkempen.

"Kami memutuskan tidak akan meletakkan calon, malah kami juga akan turun padang membantu UMNO untuk sama-sama berkempen nanti.

"Berkaitan tuntutan jawatan sebelum ini, kami juga tidak akan membuat sebarang tuntutan namun masih mengharapkan agar diberikan pertimbangan sebaiknya oleh kerajaan negeri Johor," katanya pada sidang akhbar di Parit Yaani di sibi pada Ahad.

Pada Sabtu, PH dilaporkan tidak akan meletakkan calon pada PRK DUN Mahkota di Johor pada September ini.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat kepimpinan tertinggi PH yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.

Pertikaian mengenai kerusi DUN Mahkota antara BN dan Parti Amanah Negara tercetus susulan desakan Amanah Kluang supaya diberi peluang bertanding pada PRK berkenaan.

Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, pada sidang akhbar pada 5 Ogos lalu dilaporkan berkata ia berikutan parti berkenaan pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

Artikel Berkaitan:

Namun, beliau dilaporkan berkata, jika UMNO Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri bersedia memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai Ahli Majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat, Amanah bersedia memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota.

Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading memaklumkan satu perjumpaan bersama kepimpinan UMNO dan Pakatan Harapan akan diadakan di Johor Bahru.

"Saya juga telah dihubungi oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk hadir ke pertemuan khas bag berbincang strategi kemenangan DUN Mahkota pada 26 Ogos nanti.

"Pertemuan ini akan dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!