'Isu 3R tidak sewajarnya dimainkan dalam kempen'
PEKAN - UMNO Pekan mengingatkan semua pemimpin politik agar tidak mengamalkan budaya fitnah dan menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) ketika berkempen pilihan raya.
Ketuanya, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, peringatan itu diberikan bagi menegur tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyentuh isu 3R ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
Menurutnya, sebagai seorang bekas pimpinan tertinggi negara, kenyataan seumpama ini adalah sangat tidak wajar dizahirkan oleh beliau.
"Isu 3R tidak sewajarnya diheret mana-mana pemimpin dalam negara kita meskipun dalam ceramah pilihan raya. Walaupun kita berhasrat untuk mencapai kemenangan tapi (secara) jelas, kita tidak boleh menyentuh perkara berkaitan 3R.
"Apatah lagi mewujudkan fitnah yabg tidak betul sama sekali dan menjejaskan kredibiliti institusi beraja. Kalau (perkara ini) dibiarkan berlaku pada masa akan datang,sudah pasti membawa keburukan kepada negara, serta cara kita berkempen khususnya dalam pilihan raya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas satu laporan polis dibuat wakil UMNO Pekan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan pada Ahad.
Lebih 100 ahli UMNO termasuk ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali memberi sokongan sebagai tanda solidariti mempertahankan institusi diraja.
Terdahulu, Muhyiddin dalam satu ceramah telah mengeluarkan kenyataan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Mengulas lanjut, Mohammad Fakhruddin meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan ucapan Muhyiddin dan kenyataan beliau jelas mempersoalkan krebiliti Al-Sultan Abdullah.
Jelasnya, Muhyiddin yang berpengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran, sepatutnya menunjukkan peribadi yang berhemah tinggi dan bersikap professional apabila turun berkempen di mana-mana kawasan pilihan raya.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar menuntut agar tindakan sewajarnya oleh pihak kerajaan supaya tidak berulang lagi dan menjadi contoh kepada pihak lain.
‘’Kita harap Pekan sentiasa dihormati sebagai bandar Diraja dan dihormati oleh pihak berkepenting.
"Kita di Pekan sentiasa menghormati raja kita, memang di Pekan pusatnya pemerintahannya,kita berasa amat sedih perkara ini berlaku," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!