Laporan bedah siasat kematian budak 8 tahun belum diperoleh - Polis
GOMBAK - Laporan punca kematian kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia dipercayai akibat didera di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang pada Sabtu masih belum diperoleh setakat ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, proses bedah siasat ke atas mangsa masih lagi dijalankan.
"Punca kematian mangsa masih belum disahkan setakat ini, urusan bedah siasat masih lagi dijalankan.
"Motif kejadian juga masih belum ada setakat ini, proses soal siasat terhadap ibu dan bapa tiri mangsa masih lagi sedang dijalankan," katanya pada Ahad.
Terdahulu, polis hadir semula di lokasi kejadian dipercayai untuk menjalankan siasatan lanjut.
Tinjauan Sinar Harian di perumahan dihuni kedua-dua suspek itu dan mendapati keadaan lengang di sekitar lokasi berkenaan.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera.
Susulan itu, polis memberkas pasangan suami isteri yang juga merupakan ayah tiri dan ibu kandung kepada mangsa bagi siasatan lanjut berkaitan kematian mangsa.
Polis sebelum ini menerima laporan berkaitan kematian mangsa kira-kira jam 3.27 petang.
Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di muka, tangan, kaki dan badan mangsa dipercayai dicederakan dengan tangan atau kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!