PMO doakan keluarga Allahyarham Rozaid diberi kekuatan, ketabahan

Rozaid
Rozaid
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pejabat Perdana Menteri (PMO) mendoakan keluarga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik, Rozaid Abdul Rahman, 59, diberikan kekuatan dan ketabahan susulan menerima laporan mengenai kematian beliau.

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik berkata, Allahyarham meninggal dunia akibat masalah jantung petang tadi di kediamannya di Putra Height, Subang Jaya.

“PMO mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan, dan diampunkan segala dosa Almarhum serta diberi tempat istimewa di sisi-Nya.

“Allahyarham sebelum ini menerima rawatan di Hospital Serdang sejak 1 Julai lalu dan telah dibenarkan keluar dari hospital pada 6 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan.

PMO memaklumkan Rozaid dilantik untuk menjawat tugasan berkenaan pada 23 Mei tahun lalu.

Allahyarham yang juga Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian memulakan tugasnya pada 4 Januari 2021 sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan pada 30 Disember 2022.

Semasa dalam tempoh tersebut, Rozaid sempat melancarkan portal berita bahasa Inggeris Kumpulan Karangkraf iaitu Sinar Daily.

Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 40 tahun selepas memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.

Artikel Berkaitan:

Wartawan veteran itu juga pernah menjawat jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi.

Sementara itu, difahamkan urusan mandi dan solat jenazah Allahyarham Rozaid akan diadakan pada jam 8.30 pagi esok di Masjid Putra Heights, Subang Jaya dan dikebumikan pada jam 10 pagi di Tanah Perkuburan Islam, Persint 20, Putrajaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!