Pakistan cari tiga pendaki Rusia yang hilang

Pihak berkuasa Pakistan meneruskan operasi mencari pada Ahad untuk menyelamatkan tiga pendaki Rusia yang hilang di Gasherbrum IV - Gambar hiasan 123RF
Pihak berkuasa Pakistan meneruskan operasi mencari pada Ahad untuk menyelamatkan tiga pendaki Rusia yang hilang di Gasherbrum IV - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

ISLAMABAD - Pihak berkuasa Pakistan meneruskan operasi mencari pada Ahad untuk menyelamatkan tiga pendaki Rusia yang hilang di Gasherbrum IV - gunung ke-17 tertinggi di dunia, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pasukan pendaki lima anggota dari Rusia diketuai oleh Sergei Nilov yang terselamat dalam satu kemalangan tragis musim panas lepas sedang dalam misi untuk mengambil mayat pendaki Dmitry Golovchenko di Gasherbrum IV yang berketinggian 7,925 meter. Golovchenko meninggal dunia semasa mendaki bersama Nilov.

Golovchenko dan Nilov pernah memenangi dua anugerah Piolet d’Or bersama-sama atas keberanian mereka mendaki puncak yang berbahaya sebelum ini. Pasukan Rusia itu mengalami kemalangan yang dahsyat semasa pendakian mereka.

Pada Sabtu, tentera Pakistan memulakan operasi menyelamat dan berjaya membawa turun dua pendaki ke Skardu untuk rawatan perubatan.

"Helikopter tentera akan melancarkan lagi usaha menyelamat untuk mencari tiga pendaki yang hilang, termasuk Nilov,” kata Karar Haidri, jurucakap Kelab Alpine yang dikendalikan kerajaan, kepada dpa.

Terdapat beberapa kemalangan maut dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk pendaki dari Jepun di kawasan itu.

Sekurang-kurangnya empat pendaki Jepun terjatuh dan meninggal dunia di K2, puncak kedua tertinggi di dunia.

Setiap musim panas, ratusan pendaki kebanyakannya dari Eropah, mencuba untuk menakluk puncak di Pakistan, walaupun hanya sedikit yang mencuba pendakian pada musim sejuk. Risiko tinggi runtuhan salji dan keadaan cuaca yang buruk telah terbukti membawa maut sebelum ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!