Abai hinaan dan cercaan

Norini menunjukkan kopi yang siap diproses dan dibungkus.
Norini menunjukkan kopi yang siap diproses dan dibungkus.
A
A
A

KOTA BHARU - Berdepan kesempitan kewangan menjadi titik mula seorang suri rumah yang juga ibu kepada enam anak menceburi dunia perniagaan kopi.

Norini Ismail, 57, tidak menyangka rezeki keluarganya lebih baik selepas suami, Zawawi Omar, 63, mengambil keputusan berhenti kerja dan bersama-sama membantu mengusahakan perniagaan tersebut.

Menceritakan kisahnya, Norini berkata, mereka mengharungi kehidupan penuh berliku dengan pendapatan Zawawi hanya RM500 sebulan sebagai pemandu van yang menghantar bekalan serbuk kopi diproses dari kilang milik majikan suaminya ke kedai-kedai di sekitar daerah di Kelantan.

Biji kopi yang telah siap digoreng.
Biji kopi yang telah siap digoreng.

Menurutnya, sehinggalah kemudian-nya suaminya itu memberi idea untuk mereka memulakan sendiri perniagaan memproses biji-biji kopi kepada serbuk kopi untuk minuman.

“Kami memberanikan diri meminjam modal sebanyak RM30,000 daripada ibu Zawawi untuk berniaga meskipun pada masa sama kami langsung tak tahu menahu pasal kopi.

“Saya bernasib baik kerana suami mempunyai sedikit ilmu mengenai kopi semasa dia bekerja,” kata pemilik produk Kopi Cap Tangan itu kepada Sinar Harian di Kampung Kukang, Perol di sini.

Artikel Berkaitan:

Biji kopi yang belum diproses.
Biji kopi yang belum diproses.

Tambah Norini, berbekalkan perkakas seperti kawah menggoreng dan alat pembungkusan secara manual, mereka memulakan langkah pertama memproses biji kopi di sebuah bilik kecil pada 1997.

Ketika itu katanya, keadaan mereka amat susah kerana tiada pengalaman, malah tidak pernah berniaga.

Namun, menurut wanita cekal itu, mereka perlahan-lahan belajar terutama meningkatkan kemahiran menggoreng biji kopi dengan teliti tanpa hangus bagi menghasilkan kopi lebih enak.

Proses menggoreng kopi menggunakan kawah.
Proses menggoreng kopi menggunakan kawah.

“Alhamdulillah, semakin lama semakin ramai yang meminati dan membeli kopi yang kami hasilkan.

“Tetapi dalam perniagaan tak semuanya indah. Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

"Jualan kopi kami mula menurun sedikit demi sedikit sehingga 50 peratus,” katanya.

Norini berkata, dia kemudiannya turun sendiri dari satu kedai ke kedai lain sebagai usaha memastikan jualan kopinya meningkat.

Ceritanya lagi, sepanjang tempoh mencabar itu, dia pernah dihina dan dimarahi, malah ada juga menganggap dirinya seperti ‘peminta sedekah’.

“Saya abaikan semua itu dan nekad cuba memasarkan di tempat lain pula.

“Usaha kami berbaloi kerana berjaya memasarkan serbuk kopi di kedai-kedai runcit di negeri ini dan menghasilkan kopi dalam bentuk uncang serta minuman kopi putih pra campuran,” katanya.

DIUJI HIDAP KANSER

Bagaimanapun, ketika pasangan itu berusaha keras mengumpul wang untuk membeli mesin pembungkusan moden, mereka diuji apabila Norini disahkan menghidap kanser payudara tahap empat.

Menurut Norini, berita itu merentap semangatnya untuk meneruskan kehidupan, namun dia tidak membiarkan dirinya hanyut terlalu lama dalam kesedihan.

Wanita itu bangkit melawan kanser yang dihidapinya sehinggalah pulih sepenuhnya selepas menerima rawatan.

“Syukur kerana selepas ujian tersebut, perniagaan kopi kami semakin berkembang.

“Saya tidak akan pernah lupa perit getir yang kami lalui sehinggalah berjaya berada pada tahap sekarang.

“Saya juga tidak lupa sentiasa membantu mereka dalam kesusahan dan bersedekah kerana dengan itu rezeki yang ada semakin bertambah,” katanya yang turut berniaga sambal bagi menambah lagi pendapatan keluarga.

Norini (kiri) dibantu pekerjanya membungkus kopi uncang.
Norini (kiri) dibantu pekerjanya membungkus kopi uncang.

Mengenai perancangan masa depannya, Norini menyimpan impian mahu menginovasi pembungkusan kopinya supaya lebih menarik yang memerlukan modal kira-kira RM15,000.

“Kami juga mahu pembungkusan yang lebih tahan lasak dan selamat untuk dihantar ke mana-mana lokasi jualan.

“Kopi yang diproses ini boleh bertahan sehingga dua tahun jika disimpan dengan baik dan di tempat kering,” katanya.

Menurutnya, selain Kelantan, kopinya mendapat banyak permintaan dari pelanggan di Pahang, Terengganu dan Kuala Lumpur.

“Serbuk kopi ini dijual RM1 sebungkus dengan berat 40 gram, manakala kopi jenis uncang berharga RM2 (70 gram) dan kopi putih pra campuran sekotak mengandungi 10 peket dengan berat 40 gram dijual pada harga RM17,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!