Lupakan kekecewaan Olimpik, fokus Terbuka Jepun
BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tekad melupakan kesedihan selepas tidak dapat melangkah jauh di saingan sukan Olimpik Paris baru-baru ini.
Menurut Tang Jie, dia dan pasangannya Ee Wei mahu kembali bangkit dan menjadikan Terbuka Jepun pada Selasa ini sebagai medan awal memasang impian ke Olimpik Los Angeles 2028.
Malah, mereka juga mahu memastikan kedudukan ranking mereka yang kini berada di kedudukan kesembilan dunia dapat terus meningkat menjelang hujung tahun ini.
“Sudah tentu kami sedih kerana tidak dapat melangkah jauh ke separuh akhir Olimpik. Namun, kami masih ada peluang lain untuk layak pada Olimpik akan datang.
“Tetapi sekarang, setiap kejohanan amat penting, memang sukar untuk mengalihkan fokus daripada Olimpik ke kejohanan lain, tetapi kami perlu lupakan kekecewaan tersebut.
“Mesti ada kemahuan untuk bermain di setiap kejohanan dan kalau tidak, kami tidak akan berada di sini.
"Kalau boleh, kami tak mahu kekal (kesembilan dunia), kami nak meningkat lebih baik lagi,” katanya.
Tang Jie-Ee Wei yang tampil buat kali pertama di Olimpik Paris mengakhiri saingan temasya sukan terbesar dunia itu di peringat suku akhir.
Mereka bermula dengan baik untuk menjadi juara Kumpulan D sebelum tewas kepada pasangan di kedudukan kelapan dunia dari Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun di suku akhir.
Di Terbuka Jepun, mereka dijadualkan bertemu pasangan senegara, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing pada pusingan pertama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!