Paetongtarn, PM Thailand termuda
BANGKOK - Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn secara rasmi melantik Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan kepada jutawan kontroversi Thaksin, sebagai perdana menteri baharu negara itu.
Anak bongsu bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang menggantikan Srettha Thavisin yang menjadi perdana menteri keempat dalam tempoh 16 tahun dan pernah disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan pada Rabu lalu.
Srettha didapati bersalah melanggar etika kerana melantik seorang peguam yang disabitkan kesalahan sebagai menteri pada Mei lalu.
Paetongtarn, 37, dan Srettha, mewakili Parti Pheu Thai yang mempunyai 141 ahli Parlimen di Dewan Rakyat negara itu.
Beliau menerima 319 undi manakala 145 mengundi menentangnya dan 27 lagi berkecuali dalam menyertai pemilihan perdana menteri.
Kehidupan awal
Paetongtarn dilahirkan di Bangkok pada 21 Ogos 1986 dan juga dikenali sebagai Ung In dalam kalangan rakyat Thailand, adalah anak ketiga keluarga Shinawatra yang berpengaruh dan pernah berkhidmat sebagai perdana menteri.
Beliau anak paling bongsu dalam kalangan adik-beradiknya dan juga anak saudara kepada Yingluck Shinawatra yang pernah menjadi perdana menteri pada tahun 2011 dan 2014 sehingga digulingkan oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand.
Mereka juga adalah satu-satunya wanita dalam sejarah yang pernah memegang jawatan teratas di negara gajah putih itu.
Sebelum menceburi dalam perniagaan, Paetongtarn mendapat pendidikan awal di Saint Joseph Convent dan Mater Dei Schools di Bangkok serta menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Sosiologi dan Antropologi dari Fakulti Sains Politik di Universiti Chulalongkorn pada 2008.
Kemudian, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains (MSc) Pengurusan Hotel Antarabangsa dari Universiti Surrey, United Kingdom (UK).
Beliau berkahwin dengan Pitaka Suksawat pada 2019 dan mempunyai dua anak. Manakala suaminya, Pitaka adalah seorang juruterbang pesawat komersial.
Kehidupan kancah politik
Sebenarnya Paetongtarn dibesarkan dalam keluarga politik dan beliau secara rasmi menyertai politik semasa mengetuai jawatankuasa penasihat untuk Parti Pheu Thai pada 20 Mac 2022.
Semasa pilihan raya tahun lepas, Paetongtarn dicalonkan sebagai perdana menteri oleh partinya dan kemudian dinamakan sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Strategi Kuasa Insaniah Kebangsaan dan kemudian dilantik menjadi ketua Parti Pheu Thai pada Oktober lalu.Semasa berkempen untuk partinya, beliau sedang mengandung anak keduanya.
Beliau yang pernah mendapat berpendidikan Britain juga mempunyai saham dalam beberapa perniagaan milik keluarganya, termasuk SC Asset Corporation.
Misi Paetongtarn
Paetongtarn seorang ahli politik berpemikiran liberal sosial dan pernah menyatakan sokongannya untuk menulis semula Perlembagaan Thailand dan berikrar menghapuskan kerahan tentera.
Beliau juga menentang perubahan undang-undang lese majeste yang membawa kepada pembubaran parti pembangkang, Parti Move Forward pada awal bulan ini.
Bagaimanapun, Paetongtarn telah menyokong langkah kawalan dadah dan jenayah lebih ketat di sebuah negara yang terkenal sebagai destinasi pelancongan pantai yang menarik lebih 28 juta pengunjung tahun lepas. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!