Normalisasi vape dedah belia ketagih nikotin, dadah sintetik

Undang-undang dan peraturan berkaitan penggunaan vape serta pengharaman penjualan kepada golongan bawah umur perlu diperkasakan.
Undang-undang dan peraturan berkaitan penggunaan vape serta pengharaman penjualan kepada golongan bawah umur perlu diperkasakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Normalisasi penggunaan rokok elektrik atau vape dalam kalangan belia boleh membawa kepada peningkatan penggunaan bahan terlarang lain, sekali gus mencipta generasi yang terdedah kepada ketagihan nikotin.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak, walaupun vape sering dianggap sebagai alternatif kepada rokok tembakau, namun terdapat kebimbangan yang serius membabitkan masalah kesihatan seperti penyakit paru-paru dan gangguan pernafasan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia bertanggungjawab untuk mengawal selia produk berkaitan kesihatan termasuk vape.

"Selain itu, pihak penguatkuasa undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia juga memainkan peranan dalam memantau sebarang aktiviti jualan vape yang tidak sah atau melibatkan bahan terlarang.

“Di peringkat pendidikan, pihak sekolah dan ibu bapa juga perlu bertindak sebagai pengawas bagi menghalang penyebaran budaya vape dalam kalangan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Pusat Racun Negara memaklumkan rokok elektronik atau vape jenis magic mushrooms mengandungi dadah sintetik yang berbahaya dan boleh menyebabkan gejala keracunan teruk sehingga berpotensi membawa maut.

Halim
Halim

Menurut pusat itu lagi, penemuan tersebut menunjukkan kelompongan dalam kawalan undang-undang terhadap produk vape mula menunjukkan impak kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Halim memaklumkan, banyak kaedah yang boleh diambil oleh pihak berwajib dalam mengawal dan mengurangkan kesan negatif vape dalam masyarakat terutamanya generasi muda.

Tambahnya, program sokongan perlu diadakan bagi memberi bantuan kepada mereka yang ingin berhenti menggunakan vape termasuk perkhidmatan kaunseling dan terapi ketagihan.

“Pada masa sama, undang-undang dan peraturan berkaitan penggunaan vape serta pengharaman penjualan kepada golongan bawah umur perlu diperkasakan.

“Selain itu, laksanakan operasi penguatkuasaan terhadap penjual vape tanpa lesen bagi memastikan produk yang dijual mematuhi standard keselamatan ditetapkan.

“Bagi peringkat sekolah pula, perkenalkan modul pendidikan mengenai bahaya vape dan bahan terlarang dalam kurikulum sekolah atau mengadakan kempen kesedaran secara meluas mengenai bahaya penggunaan vape terutamanya yang menyasarkan golongan muda serta pelajar,” jelasnya.

Ringkasan berita:

  • Isu: Normalisasi penggunaan vape dalam kalangan belia meningkatkan risiko ketagihan nikotin dan bahan terlarang lain.
  • Kebimbangan: Vape dianggap alternatif rokok, namun menyebabkan penyakit paru-paru dan gangguan pernafasan.
  • Peranan KKM: KKM perlu kawal selia produk vape; PDRM mengawasi jualan haram.
  • Penemuan: Vape jenis "magic mushrooms" mengandungi dadah sintetik yang berbahaya dan berpotensi membawa maut.
  • Cadangan: Program sokongan berhenti vape, peraturan ketat terhadap jualan vape, dan kempen kesedaran di sekolah perlu diperkuatkan.
Dijana oleh AI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!